malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Doktrin 40 tahun sukarkan Melayu terima perubahan dasar berasas kaum'
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 7:09 PM
Dikemaskini: 11:32 AM
ADS

Sementara menyokong dasar afirmatif berdasarkan keperluan dan bukannya kaum, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata orang Melayu perlukan masa untuk menerima perubahan ke arah itu.

Anwar berkata demikian ketika diwawancara di Bloomberg New Economy Forum di Singapura hari ini, bagi menjawab soalan sama ada beliau melihat akan tiba hari di mana tiada lagi dasar bumiputera di Malaysia.

"Kini berlaku peralihan pada takat tertentu kerana kita bercakap tentang dasar afirmatif berdasarkan keperluan dan bukannya kaum," katanya.

Tetapi, katanya lagi, orang Melayu memerlukan masa untuk menerima perkara itu kerana telah didoktrin selama kira-kira 40 tahun bahawa dasar berasaskan kaum yang berpihak kepada mereka penting untuk survival mereka.

Beliau merujuk kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1970, iaitu 38 tahun lalu.

"Sekarang kita kata untuk survival ekonomi perlu berkembang dan pelaburan perlu masuk.

"Kita harus melaksanakan dasar dan langkah yang perlu untuk menarik pelabur, tetapi pada masa sama tidak lupa kepada golongan miskin dan terpinggir," kata presiden PKR itu lagi.

Anwar menjelaskan DEB diperkenalkan di saat majoriti orang Melayu secara umumnya terpinggir daripada peluang dalam ekonomi.

Beliau berkata telah menggesa kepada penamatan (dismantle) DEB sejak 2007 kerana mahukan ekonomi Malaysia menjadi lebih kompetitif dan berdaya.

"Banyak perkara telah berubah, pemahamaman orang Malaysia telah berubah...Kita ada sumber dan kapasiti untuk berkembang."

Tetapi katanya lagi beliau masih berpegang kuat dengan dasar afirmatif kerana negara yang hanya mengutamakan pertumbuhan dan kemakmuran, tetapi pada masa sama meminggirkan golongan miskin dan terpinggir tidak akan berjaya.

"Akhirnya orang Melayu miskin, Cina di setinggan bandar, dan India di estet tidak akan terpinggir," katanya lagi.

Lihat Komen