malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
FRU lerai kekecohan pemilihan PKR Keningau
Diterbitkan:  Nov 3, 2018 11:15 PM
Dikemaskini: 3:16 PM
ADS

PEMILIHAN PKR | Pemilihan Cabang PKR Keningau hari ini kecoh apabila penyokong seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Cabang itu bertindak menceroboh pusat pemilihan selepas pusat berkenaan ditutup pada jam 4 petang tadi.

Difahamkan, kumpulan berkenaan tidak berpuas hati apabila proses pengundian di Balai Raya Kampung Marampong itu ditutup walaupun masih ramai anggota parti yang belum mengundi.

Dalam kejadian tersebut, kumpulan yang tidak berpuas hati itu bertindak memecahkan pintu dan dinding balai raya berkenaan, selain mereka juga membaling kerusi dalam pusat pengundian itu.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tiba untuk meleraikan kekecohan tersebut.

Tiada kecederaan dilaporkan berikutan kekecohan selama 15 minit itu, namun banyak kerusi rosak selain kerosakan teruk pada pintu balai raya berkenaan.

Calon yang bertanding untuk ketua Cabang PKR Keningau terdiri daripada Johari Tahir (penyandang jawatan), Datuk Dr Sangkar Rasam dan Haslina Abin Kassim.

Difahamkan, terdapat 6,000 pengundi bagi pemilihan parti itu di Keningau, namun hanya 30 peratus yang keluar mengundi.

Ketika berita ini ditulis pada awal malam ini, pasukan keselamatan masih berkawal di kawasan balai raya, sementara ramai pengundi sudah meninggalkan tempat tersebut.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, ASP Lee Nyuk Kim mengesahkan calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, yang berada di pusat pengundian semasa kekecohan itu berlaku, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Keningau pada jam 5.15 petang tadi.

Bagaimanapun, Lee tidak memberikan butiran lanjut berkenaan kandungan laporan polis yang dibuat Rafizi.

- Bernama   


 

Lihat Komen