malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan pengundi hantu: Ahli PKR diberkas SPRM
ADS

EKSKLUSIF| Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota PKR yang disyaki bertanggungjawab menguruskan pendaftaran 'pengundi hantu' parti berkenaan.

Timbalan Ketua Pesuruhjayanya SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya penahanan suspek merupakan sebahagian daripada proses soal siasat terhadap laporan berkaitan pemilihan PKR yang masih berlangsung.

Sumber Malaysiakini memaklumkan lelaki berusia 31 tahun itu ditahan penyiasat SPRM kira-kira jam 7 petang semalam.

Mereka sedang menyiasat isu pertambahan mendadak keanggotaan PKR menjelang proses pemilihan yang bermula baru-baru ini.

“Dia (lelaki yang ditahan) merupakan ketua unit pendaftaran keanggotaan PKR.

“Dia ditahan pegawai SPRM kerana disyaki terlibat dalam pendaftaran pengundi hantu untuk pemilihan parti.

“Daripada maklumat yang diperoleh, aktiviti itu disyaki dilakukan oleh salah satu kumpulan yang bertanding dalam pemilihan PKR,” kata sumber.

Menurutnya SPRM turut menyiasat dakwaan berlaku pembelian undi di beberapa negeri termasuk Sabah, Kedah dan Perak.

“Lebih banyak penahanan bakal menyusul,” jelas salah satu sumber.

Bagaimanapun, apabila dihubungi berkenaan hal itu, Azam enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berlangsung.

Ditanya adakah SPRM turut menyiasat jawatankuasa pemilihan parti (JPP) PKR yang bertanggungjawab ke atas proses pengundian dalam talian yang julung-julung kali diadakan, Azam tidak menolak kemungkinan itu.

“Kalau ada petunjuk (yang menunjukkan bahawa jawatankuasa itu boleh membantu siasatan), kami mungkin panggil mereka juga,” katanya.

Dilaporkan bahawa SPRM telah melawat ibu pejabat PKR di Petaling Jaya pada Khamis lalu dan merampas beberapa dokumen sebelum memanggil salah seorang pekerjanya untuk soal siasat semalam.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan pertembungan sengit kumpulan Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Untuk rekod Azmin ialah penyandang jawatan timbalan presiden PKR yang dicabar Rafizi, iaitu salah seorang naib presiden parti berkenaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen