malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Subky: Pemuda PAS mesti sambung perjuang ketuanan Melayu
ADS

ULASAN | Jangan biarkan isu ketuanan Melayu jadi perdebatan di antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr Asyraf Wajdi Dusuki atau Pemuda Bersatu dan Pemuda Umno saja.

Pemuda PAS mesti tampil menyambung apa yang diperjuangkan di ambang merdeka dulu.

Jika dibiarkan Syed Saddiq dan Bersatunya, nescaya ketuanan Melayu yang tinggal nyawa ikan dilensingnya ke Laut China Selatan bagi dilanggar armada China yang bertuan di situ.

Sama ada dia silap cakap atau sengaja dicakapnya demikian, padanya ketuanan Melayu sudah habis masa ditelan Malaysia Baru wawasan komponen Harapan, jenama baru Malaysian Malaysia yang orang Melayu tidak dapat terima dulu.

Malaysian Malaysia itu punca utama Singapura ditendang dari Malaysia pertengahan tahun 1960-an.

Pemuda PAS sebagai waris perjuangan itu mesti campur tangan mengemudi semula roh yang mahukan Melayu tidak hilang di dunia. Dulu, yang mahukan ketuanan Melayu diisi dalam perlembagaan Malaya merdeka gubalan Lord Reid hanya PAS.

Umnolah yang dilihat berjaya mendapatkan kemerdekaan itu, tetapi kemerdekaan yang dirancang British selepas kewujudan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, bahawa kemerdekaan yang Umno dan Tunku Abdul Rahman minta itu tidak akan dianugerah sekadar ia dituntut oleh orang Melayu saja.

Tak sempurna tanpa Pemuda PAS

Ia hanya mungkin jika dikehendaki oleh penduduk Tanah Melayu pada masa itu.

Bermacam-macam yang dilakukan PAS di bawah pimpinan Haji Ahmad Fuad, Dr Abbas dan Dr Burhanuddin Helmy buat supaya ketuanan Melayu menjadi sebahagian daripada isi perlembagaan.

Terakhir, dua hari sebelum rombongan Malaya merdeka pimpinan Tunku berangkant ke London bagi memuktamadkan perlembagaan Reid itu, Dr Burhanuddin dan Datuk Onn menyerahkan memorandum kepada Tunku supaya jangan lupa ketuanan Melayu.

Tun Razak dan Tun Dr Ismail yang turut serta dalam rombongan itu dikatakan Melayunya tidak sama dengan Melayu Tunku tapi reda dengan kemahuan British.

Asyraf Wajdi sebagai Ketua Pemuda Umno yang tidak berkuasa lagi sekarang tidak punya kekuatan untuk mempertahankan saki-baki ketua Melayu yang ada sekarang kerana partinya membisu ketika isu itu dituntut PAS dan Kongres Melayu kedua di ambang kemerdekaan yang disifat separuh masak oleh orang Melayu di luar Umno.

Sebarang wacana atau perdebatan yang mewakili suara anak muda tidak dikira sempurna jika suara Pemuda PAS tidak ditampilkan.

Bukan penampilan Pemuda Umno dalam isu ini tidak penting, tetapi kehadirannya adalah untuk menebus apa yang tidak dibuat oleh pemimpin-pemmpin Pemuda Umno selama 60 tahun negara merdeka.

Ada kadang-kadang Umno dan Pemuda Umno menimbulkan ketuanan Melayu, tetapi ia laksana ingatkan pesan Hang Tuah tentang tak akan Melayu hilang di dunia.

Apa yang hendak disebut dalam debat dengan Syed Saddiq itu?

Mahu bercakap tentang sejarah atau menyatakan apa yang Umno hendak buat jika ditakdirkan kembali berkuasa? Semua mahu dengar apa yang Umno dapat selamatkan ketuanan Melayu semasa Umno masih belum hilang di dunia.

Jika Syed Saddiq tidak berubah, jika itulah wawasan anak muda BERSATU, tiada apa yang dapat diharapkan selain daripada tinggal harapan. Mungkin bertuah jika jadi 40 anggota parlimen Umno menyertainya.

Habis apa Pemuda PAS boleh buat?


Baca Hadi: Faktor bangsa penting dalam perjuangan Islam


Ketuanan Melayu belum berkubur. Ia memperjuangkan Islam yang dalamnya ada ketuanan Melayu.

Islam bermula di benua Arab ketika Arab penuh jahiliah. Islam masuk ke tengah masyarakat yang tidak berminat dengan Islam.

Tetapi Islam ditolong Allah. Keadilan dan kebenarannya, Islam tegakkan di tengah kaum jahiliah, lalu tertegak ketuanan Islam.

Dalam ketuanan Islam ada ketuanan Arab. Dalam ketuanan Islam nanti akan ada ketuanan Melayu dan ketuanan Malaysia.


SUBKY LATIF ialah wartawan veteran dan bekas anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini disiarkan kali pertama di harakahdaily dengan judul Waris Ketuanan Melayu, Pemuda PAS.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen