malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Payung' kartel jerut peluang kontraktor bumiputera
ADS

ULASAN | Visi jelas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memperkasa dan meningkatkan daya saing kontraktor bumiputera bagi menyeimbangkan ekonomi antara kaum jelas digagalkan oleh kehadiran kelompok yang boleh dianggap kartel pembolot tender utama kerajaan.

Ketika banyak negara dunia menganggap monopoli adalah satu jenayah, lompang perundangan, kelemahan urus selia serta kegelinciran integriti, kartel berkenaan seakan-akan memperlekeh dan mempersenda Kementerian Kerja Raya dan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Hakikatnya, lebih 20,000 kontraktor bumiputera bukanlah lemah dan tidak mampu menjalankan projek mega, cuma mereka menjadi mangsa keadaan, atau lebih parah dituduh lemah untuk daya saing.

Kemunculan kartel ini juga sebenarnya banyak berpunca daripada gelinciran integriti pegawai kerajaan - sama ada di peringkat kementerian atau pegawai perolehan - sejak bertahun-tahun lamanya.

Pegawai terbabit biasanya dengan sengaja berpakat dan meminta kontraktor yang mereka kenali mengemukakan lima atau lebih nama syarikat untuk membida sesuatu projek.

Tujuannya memang dapat difahami, iaitu bagi mengaburi mata Jabatan Audit Negara atau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika ada kes berbangkit nanti.

Masa berlalu dan ketika persekitaran rasuah semakin berleluasa dalam pentadbiran sebelum ini. Kemudian muncul individu yang mendakwa mempunyai hubungan dan sumber maklumat dalaman kukuh.

Syarat berubah, strategi pun bertukar

Orang sebegitulah yang mengumpulkan sehingga lebih 50 syarikat dalam kartel tersediri dan bersedia untuk mengaut hampir semua tender kerajaan.

Perkara itu jelas kelihatan setiap kali sesi lawatan tapak untuk sesuatu tender, dengan kelompok terbabit bergaul sesama sendiri.

Apabila sesi penerangan dijalankan mereka kelihatan acuh tidak acuh. Maklumlah, mereka sudah mewujudkan kartel sendiri yang mempunyai hubungan dan maklumat dalaman.

Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini meminda peraturan dengan mensyaratkan hanya pemilik syarikat dibenar menghadiri proses pembidaan tender.

Alasannya, bagi mengatasi tindakan pihak tertentu meminjam syarikat rakan atau kenalan bagi mendapatkan sesuatu tender.

Namun langkah itu, gagal mengatasi masalah berkenaan apabila dalang kartel ini turut mengubah strategi.

Mereka juga licik menyusun semua syarikat yang dinaungi dan - berpandukan maklumat dalaman daripada pegawai tertentu - memperoleh data mengenai jangkaan harga tender.

Tidak sukar untuk mengesan kelompok terbabit kerana kebiasaannya harga yang dikemukakan syarikat-syarikat itu tidak banyak berbeza antara satu sama lain.

Contoh terbaru kewujudan kartel ini adalah apabila borang tender untuk sebuah projek di Lumut pada minggu ini habis dalam tempoh hampir sekelip mata.

Ia bukanlah sesuatu yang lazim untuk mana-mana pihak yang biasa memasuki proses mendapatkan tender.

Kelemahan sistem cut off untuk bidaan tender turut mempunyai keburukan.

Secara asasnya sistem cut off mengelompokkan harga tender yang ditawarkan mengikut belanjawan yang disediakan JKR.

Projek terbengkalai, kualiti merosot

Namun jika 50 lebih syarikat memasuki tender dengan harga yang tidak jauh beza, maka pasti harga paling rendah yang ditawarkan syarikat bebas (tidak menyertai kartel), akan tersingkir.

Malah, ada kalanya kelompok penender yang meletakkan harga yang lebih tinggi daripada dana diperuntukkan memperoleh tender terbabit, semata-mata berasaskan sistem cut off berkenaan.

Oleh yang demikian kontraktor bebas pasti tidak mampu bermimpi mengatasi kehadiran kartel terbabit.

Bagi syarikat yang menyertai kartel, ia memang rezeki yang lumayan, seumpama berenang dalam lubuk emas, kerana mereka sentiasa mempunyai komisyen bulanan untuk sesuatu projek yang dilaksanakan.

Lebih-lebih lagi jika mereka menyerah kembali bulat-bulat kerja yang diperoleh kepada kartel menerusi kaedah 'Ali Baba' moden.

Untuk syarikat yang memilih untuk melaksanakan kerja yang diperoleh secara sendiri, mereka perlu membuka akaun bersama dengan dalang kartel atau memastikan setiap bulan sejumlah 'ufti' diserahkan.

Ia mesti dilakukan tanpa mengira syarikat terbabit sudah menerima bayaran daripada kerajaan atau tidak.

Jadi tidak hairan kita mendengar banyak projek terbengkalai, kualiti kerja merosot dan sebagainya.

Malah ada cakap-cakap di kalangan mereka yang terbabit dalam industri mendakwa, kualiti penyelenggaraan bangunan yang merosot pada aset kerajaan di Putrajaya juga berpunca daripada amalan berkenaan.

Dikatakan kelompok kartel terbabit membolot hampir semua projek penyelenggaraan bangunan kerajaan di situ.

Laporan Audit Negara yang diumumkan pertengahan tahun ini turut menyerlahkan betapa sebuah kementerian memberikan kontrak kepada beberapa syarikat yang kesemuanya diuruskan oleh hanya sebuah firma setiausaha syarikat.

Nama-nama besar yang menawarkan khidmat penyelenggaraan - termasuk anak syarikat Lembaga Tabung Haji - turut menggigit jari angkara helah kartel berkenaan.

Jika syarikat besar pun berputih mata, apatah lagi syarikat bumiputera yang biasa-biasa.

Dan jika masalah ini berterusan, kerajaan HARAPAN - yang cuba mewujudkan pentadbiran bersih menerusi penghapusan amalan rundingan terus, anugerah langsung serta pelaksanaan tender terbuka menyeluruh - pasti akan terus dipersalahkan.


MEOR HISHAM ZULKIFLI ialah bekas wartawan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen