malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Justo mohon maaf pada Amar Singh atas salah faham
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 10:13 PM
Dikemaskini: 2:24 PM
ADS

Pemberi maklumat dari Switzerland, Xavier Justo meminta maaf kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, atas salah faham mengenai dakwaan polis memaksa beliau mengatakan bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah perdana menteri terbaik.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya, bekas eksekutif PetroSaudi itu berkata beliau tidak pernah mengatakan pengakuan itu dipaksakan oleh polis Malaysia.

"Sebagai balasan kepada kenyataan akhbar anda, di mana anda menyebut bahawa saya telah berkata 'Polis Malaysia meminta saya untuk mengatakan bahawa Najib adalah PM terbaik' seperti yang dipetik oleh Malay Mail - saya tidak ingat ketika memberikan temu bual kepada media itu.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya yakin saya tidak pernah mengatakan kata-kata ini. Saya kata bahawa (detektif persendirian British) Paul Finnegan dan polis Thailand memberi saya soalan-soalan terlebih dahulu dan mereka mahu saya mengatakannya.

"Saya tidak menyemak kata-kata yang saya sebut semasa sidang media yang saya katakan itu, tetapi saya yakin bahawa apa yang saya katakan mengenai Paul Finnegan dan polis Thailand, bukan polis Malaysia," tulis Justo.

Beliau kemudiannya memohon maaf kepada Amar atas kekeliruan itu dan menegaskan bahawa tidak berniat untuk melangar undang-undang Malaysia.

"Jika saya salah, sila terima permohonan maaf saya dengan rendah hati, saya seorang manusia dan Bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga saya. Saya juga bercakap di depan 1,000 orang, dengan tahap tekanan yang tinggi. Saya tidak mengungkapkan kata-kata ini, katakanlah ia adalah kesilapan akhbar (laporan akhbar).

"Saya menghormati negara dan undang-undang negara anda dan saya tidak cuba mengganggunya. Saya menghormati undang-undang dan polis yang menjalankan tugas. Lebih-lebih lagi, semasa lawatan anda ke penjara pada 2015, anda melayani saya dengan rasa hormat dan adil tanpa mengira saya sebagai tahanan," tulis Justo.

Awal petang ini, Amar memberitahu Justo supaya "berhenti berbohong" selepas laporan lelaki itu dipaksa mengatakan bahawa dia adalah lelaki jahat, sukakan wang, dan diminta memuji Ketua pegawai eksekutif PetroSaudi Tarek Obaid dan PetroSaudi serta mengatakan Najib adalah PM terbaik.

Selain mengatakan ia tidak relevan, Amar berkata 57 soalan yang ditujukan kepada Justo difokuskan pada kecurian data yang berkaitan dengan PetroSaudi dan 1MDB.

Pengakuan yang dipaksakan ke atas Justo itu didakwa berlaku ketika dia dipenjarakan di Thailand pada tahun 2015 berhubung peranannya memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi, sebuah syarikat minyak dan gas di Arab Saudi, dengan beribu-ribu e-mel yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun tetapi dibebaskan selepas 18 bulan pada Disember 2016 setelah diberi pengampunan diraja oleh Raja Maha Vajiralongkorn dari Thailand.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen