malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Detik akhir Jamal Khashoggi yang dikenang Hatice
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 4:43 PM
Dikemaskini: 8:44 AM
ADS

GLOBAL | Sebulan selepas Jamal Khashoggi 'ghaib' di sebalik tembok bangunan konsulat Arab Saudi di Istanbul, tunangnya, Hatice Cengiz, masih mencari-cari kepastian mengenai nasib yang menimpa wartawan dan kolumnis akhbar itu.

Diplomat Arab Saudi pada awalnya mendakwa Jamal sudah meninggalkan bangunan tersebut selepas urusannya selesai.

Namun kesan desakan dan kritikan pelbagai pihak, Riyadh kemudian mengaku wartawan terbabit sudah meninggal dunia.

Punca kematian yang dipetik pihak berkenaan memang ada lebih daripada satu.

Alasan rasmi Riyadh ialah Jamal terbunuh kesan pergaduhan yang tercetus dalam bangunan tersebut namun Turki mendakwa kematian anggota Ikhwan Muslimin berkenaan sememangnya dirancang lebih awal.

Malah Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan secara keras mengutuk pembunuhan berkenaan dan bertegas mahu maklumat sebenar didedahkan kepada umum.

Namun pada sisi lain, tunang Jamal, Hatice sempat mengenang detik-detik akhir wartawan itu sebelum masuk ke bangunan konsulat terbabit hanya 11 hari sebelum dia meraikan sambutang kelahiran ke-60.

Berikut adalah empat fakta yang menjadi kenangan Hatice:

* Jamal terkejut melihat sikap ramah dan hangat kakitangan konsulat ketika dia berkunjung ke situ kali pertama pada 28 Sept padahal dia memang dikenali sebagai pengkritik keluarga bangsawan dan kerajaan Arab Saudi.

Layanan yang baik itu menyebabkan Jamal lebih tenang untuk berkunjung ke bangunan tersebut sekali lagi pada 2 Okt. Tujuannnya ialah untuk mendapatkan pengesahan bahawa dia sudah bercerai dengan isteri pertama.

Langkah itu dibuat bagi memudahkan urusan pernikahannya dengan Hatice.

* Walaupun begitu pada hari kejadian Jamal kelihatan bimbang semasa memasuki bangunan konsulat Arab Saudi tersebut.

Dia juga berkata kepada Hatice ada kemungkinan dia berdepan masalah apabila berurusan dengan kakitangan di pejabat berkenaan.

Alasan Jamal, selama ini Arab Saudi tidak berani berbuat apa-apa kepadanya kerana dia sedang berada di Turki. Namun apabila berada dalam bangunan tersebut - sesuai dengan status diplomatiknya - keadaan mungkin akan berbeza.

* Sebelum berpisah - dan tanpa disangka, ia adalah untuk selama-lamanya - Jamal sempat berpesan kepada Hatice: hubungi penasihat Recep jika dia tidak keluar dari bangunan tersebut sejam kemudian.

Kata Hatice tunangnya itu juga menyerahkan dua buah telefon genggam yang taliannya disambungkan dengan jam tangan dipakai Jamal.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada peranti tersebut ada memberi sebarang isyarat kepada Hatice apabila Jamal terbunuh dalam bangunan tersebut.

* Kematian Jamal, kata Hatice, membuktikan kritikan tunangnya itu terhadap Arab Saudi memang benar-benar berlaku.

Lihat Komen