Pengiklanan

    Dakwaan cabul: Shahidan tampil pertahan diri

    (Dikemaskini )
    Shakira Buang  |  Berita


    Selepas heboh dakwaan seorang anggota parlimen Perlis melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar bawah umur, Datuk Seri Shahidan Kassim tampil memberi penjelasan.

    Dalam sidang media di parlimen hari ini anggota parlimen Arau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan polis untuk menyiasat dakwaan yang melibatkan dirinya itu.

    Kata Shahidan, ini kerana kedua-dua pihak kini telah membuat permohonan maaf ekoran "salah faham" yang berlaku.

    “Saya pasti semua pihak memahami perkara ini dan minta tidak dipanjangkan perkara ini dan kita serah kepada pihak polis.

    “Walaupun kes ini telah ditutup namun pihak polis akan meneruskan kerja-kerja mereka,” katanya.

    Menurut Shahidan yang juga bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, dakwaan kononnya beliau berduaan dalam kereta adalah tidak benar.

    Namun, kata Shahidan pertemuan di dalam kereta itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan yang dinaikinya.

    “Sebagai wakil rakyat saya memberi galakan kepada semua anak supaya terlibat dalam aktiviti yang halal. Jadi ada kumpulan busker, muzik saya tolong semua, jadi itu perkara biasa.

    “Kalau ada tempat kenduri pun saya tolong, jadi atas niat ini, saya anggap anak-anak dan cucu saya. Jadi tidak timbul ingin lebih daripada itu, lagi pun saya tak berapa boleh berjalan,” katanya.

    Ambil tindakan undang-undang

    Ketika diminta mengulas dakwaan beliau menyentuh pada bahagian tangan dan bahu, Shahidan enggan mengulas lanjut.

    “Itu semua ada dalam keterangan saya,” katanya ringkas meskipun beberapa kali diasak pemberita dengan soalan yang sama.

    Bagaimanapun, bekas menteri besar Perlis itu berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berterusan menyebarkan dakwaan tersebut.

    Namun, kata Shahidan ia akan membincangkan perkara itu dengan peguamnya Thalia Rohaina Abdul Latiff.

    “Saya akan berbincang dengan peguam berkenaan untuk mengambil tindakan undang-undang tapi sudah pasti saya tidak akan berdiam diri.

    “Kes ini sudah ditarik balik tetapi yang membukanya semula adalah pihak media. Ini merupakan penganiayaan terhadap keluarga ini, biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan,” katanya.

    Semalam, Polis Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman dilapor telah merakamkan keterangan Shahidan selama tujuh jam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul seorang remaja perempuan di Perlis baru-baru ini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih