malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RM14 bilion sepatutnya royalti milik Kelantan - Mohd Amar
ADS

DUN KELANTAN | Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, berdasarkan maklumat yang dikumpul sehingga tahun ini Kelantan sepatutnya menerima bayaran sebanyak RM14 bilion.

"Berdasarkan maklumat yang kita kumpul daripada laporan dan jawapan menteri di parlimen, daripada mula-mula pengeluaran petroleum hasil laut yang digali dari kelantan sehinggalah tahun 2018, kita sepatutnya sudah menerima bayaran daripada Petronas melebihi RM14 bilion.

"Itu sebenarnya harta kita yang ada pada Petronas dan kerajaan persekutuan. Jadi, kalau kita setakat nak minta pinjam RM90 juta pendahuluan, tidak menjadi masalah sebab duit kita banyak lagi dengan kerajaan pusat.

"Kalau kita berhutang lebih RM300 juta atau RM700 juta pun, ia masih dikira kecil lagi berbanding duit kita yang berjumlah RM14 bilion," katanya ketika menjawab soalan tambahan Abd Rahman Yunus (PAS- Pasir Tumboh) berhubung dakwaan mengatakan kerajaan negeri tidak mampu membayar elaun dan gaji kakitangannya.

Susulan itu Mohd Amar yang juga ADUN Panchor turut meminta Petrolium Nasional Berhad (PETRONAS) memberi maklumat rasmi jumlah bayaran royalti yang sepatutnya diterima Kelantan sejak 1982.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata kerajaan negeri terkilan apabila terdapat menteri membangkitkan isu Kelantan meminta duit dan berhutang.

"Sedangkan hak kita sebenarnya dipegang kerajaan pusat. Sekiranya kerajaan pusat jujur, mereka perlu beri royalti kepada kita sebagaimana sepatutnya kerana banyak masalah yang kita boleh selesai sekiranya mendapat sejumlah wang terbabit.

"Apa yang kita tuntut adalah hak kita lima peratus yang dijamin oleh perjanjian. Sebanyak 20 peratus yang dijanjikan itu hal lain kerana saya sering tekankan kita minta lima peratus sahaja," katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri berharap wujudnya perubahan dalam kerajaan persekutuan baharu hari ini dan mereka menghormati perjanjian terbabit.

Lihat Komen