Projek “Black Soldier” yang disasar menghasilkan baja organik kepada peladang tempatan di samping membantu menangani isu sisa buangan makanan dengan lebih berkesan, akan dilaksanakan di Sabah tidak lama lagi.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Junz Wong berkata projek itu penting dalam dunia hari ini yang dipenuhi dengan buangan yang berlebihan yang tidak ramai boleh menanganinya seberti sisa bio organik dari isi rumah, pasar basah, kedai makanan, restoran, ladang ternakan dan sebagainya.
Beliau berkata langkah biasa bagi menangani isu berkenaan ketika ini adalah sebahagian kecilnya dijadikan sebagai makanan haiwan, manakala selebihnya dibuang begitu sahaja di tempat pembuangan sampah di serata dunia, termasuk Sabah.
“Kita sentiasa mencari pelbagai langkah untuk menangani isu sisa ini, yang akan mereput. Ia juga mengeluarkan gas Rumah Hijau seperti hidrogen Sulphide, Metana, dan Karbon dioksida, sekaligus menyumbang kepada isu perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan susulan lawatannya ke tapak projek ladang 'Black Soldier' PT. Maggot Indonesia di Bogor baru-baru ini.
Beliau berkata kementeriannya juga sedang mengkaji penghasilan gas bio menerusi ’anaerobic digestion’ yang menghasilkan gas metana yang boleh menjana kuasa, satu lagi pilihan menerusi projek berkenaan.
“Penukaran Bio oleh larva juga adalah salah satu proses yang cukup berpotensi dalam menangani isu pembuangan sisa ini. Sisa buangan organik bio ini akan diberi kepada larva yang lapar yang boleh memakan 5,000 kali bahan yang lebih berat dari berat badannya sebaik sahaja bahan itu menjadi sisa buangan,” katanya.
Menurutnya proses itu akan menhghasilkan baja bio yang baik yang mengandungi bahan anti pathogen bagi memerangi masalah penyakit tanaman yang dibawa udara dan serangga sebagaimana yang disebut oleh banyak jurnal penyelidikan.
Junz berkata sebagai permulaan, projek pertama bagi membantu peladang di Ranau untuk beroperasi lebih hijau, lebih organik dan lebih sihat akan dimulakan di Kundasang, dalam daerah Ranau.
- Bernama