malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sultan Sharafuddin prihatin banjir kilat di S'ngor
Diterbitkan:  Oct 30, 2018 4:28 PM
Dikemaskini: 8:28 AM
ADS

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan keprihatinan baginda terhadap isu banjir kilat yang kerap melanda negeri ini terutama ketika musim hujan.

Perkara itu disuarakan kepada Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor, Muhammad Ridzuan Arshad semasa baginda melawat ruai-ruai (booths) syarikat pemaju perumahan yang mengambil bahagian dalam sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.

Muhammad Ridzuan berkata jabatannya mengambil berat akan keprihatinan Sultan Sharafuddin mengenai isu banjir kilat itu dan akan berbincang dengan semua pihak berkaitan bagi mengatasinya.

“Baginda menyuarakan kepada saya mengenai isu banjir kilat ini termasuk kejadian banjir kilat di sekitar Stadium Shah Alam pada petang Sabtu lepas sebelum Final Piala Malaysia antara Terengganu dan Perak.

“Saya akan berbincang dengan pihak berkaitan mengenai langkah-langkah mitigasi yang perlu dilakukan bagi mencegah perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan berkenaan yang disempurnakan oleh Sultan Selangor.

Pembangunan kawasan, perumahan baru

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berangkat ke majlis itu yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Tambah Muhammad Ridzuan, pihaknya juga akan memastikan isu banjir kilat dimasukkan ke dalam aspek yang perlu diberi perhatian berat oleh pemaju semasa membangunkan bandar-bandar baru dan kawasan perumahan.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Sensitif Alam Sekitar Negeri Selangor turut memberitahu pihaknya menerima kira-kira tiga permohonan setiap bulan bagi kebenaran untuk melakukan pembangunan di kawasan lereng-lereng bukit.

“Jawatankuasa ini yang dianggotai oleh pelbagai jabatan antaranya Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Mineral dan Geosains Selangor bertanggungjawab meneliti semua permohonan bagi semua pembangunan di kawasan lereng yang mempunyai kecerunan melebihi 25 peratus,” katanya.

“Kebenaran hanya akan dikeluarkan selepas segala aspek berkaitan dikaji dan didapati sesuai untuk dibangunkan bagi memastikan tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku semasa pembinaan atau setelah ia siap,” tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen