malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sudah tentu Najib akan kata balas dendam - Mahathir
ADS

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak dakwaan kononnya puluhan pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak adalah sebahagian daripada plot untuk membalas dendam.

"Sudah tentu beliau (Najib) akan berkata demikian. Apa lagi yang boleh beliau katakan? Seluruh dunia tahu tentangnya dan Malaysia dikenali sebagai kerajaan kleptokrasi di bawah pimpinannya dan ini diterbitkan di seluruh dunia.

“Beliau boleh kata apa sahaja yang beliau suka. Jika anda mahu percaya, anda dialu-alukan untuk mempercayainya.

"Apa yang berlaku adalah perlu ada cukup bukti untuk mendakwa beliau, jika tidak beliau tidak akan didakwa,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Pencegahan Rasuah di Kuala Lumpur, hari ini.

ADS

Mengenai pembelaan Najib berulang-kali bahawa wang RM2.6 bilion itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi, dan ini akan dibuktikan di mahkamah, Mahathir berkata, kenyataan baru-baru ini dari menteri luar Arab Saudi adalah sebaliknya.


"Mahkamah akan menentukan sama ada wang ini adalah dari Arab Saudi. Mereka perlu tampil dan kata bahawa mereka tidak memberikan wang itu," katanya.

Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir baru-baru ini memberitahu rakan sejawatannya di Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, bahawa wang dalam akaun Najib tidak ada kaitan dengan kerajaannya.

“(Sebelum ini) beliau mengugut mereka tetapi tidak mengambil tindakan. Kini beliau telah didakwa berdasarkan laporan-laporan, bukan sahaja oleh media asing tetapi agensi-agensi (penguatkuasa) di sini.

“Bila anda pindahkan wang, mesti ada rekod. Anda tidak boleh pindahkan berbilion dollar tanpa sebarang rekod. Apabila wang dipindahkan antara bank, walaupun cek, mesti ada rekod,” kata Dr Mahathir.

Pada sidang akhbar itu, Dr Mahathir juga mendedahkan sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) menerajui kerajaan, tuduhan dan dakwaan berlakunya rasuah membabitkan jentera kerajaan baru tidak kerap berbanding pemerintah BN sebelum ini.

Katanya, ia petanda baik bahawa mesej yang ditekankan kepada masyarakat untuk membasmi rasuah mula membuahkan kesan.

"Kita mendapati, tuduhan dan dakwaan mengenai rasuah dan penyalahgunaan kuasa tidak lagi kerap seperti sebelum ini.

"Rakyat kena tahu rasuah adalah jenayah dan jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada anggota kerajaan untuk mendapat apa-apa habuan," katanya.

ADS

Pada sidang akhbarnya, Dr Mahathir juga berkata kerajaan akan memberi perlindungan kepada pelabur asing yang berhasrat untuk melabur di negara ini tetapi bimbang berdepan layanan buruk akibat rasuah ketika berurusan dengan pegawai kerajaan.

Sehubungan dengan itu, perdana menteri turut menggesa pelabur yang berdepan masalah sedemikian untuk tampil dan membuat laporan mengenai sebarang salah laku.

"Tiada sebarang laporan mengenainya (rasuah). Kita sendiri bersedia untuk membuka sebarang siasatan jika ada sesiapa yang tahu mengenai perbuatan rasuah ini.

"Tampil dan maklumlah (kepada kita) dan kita akan melindungi anda serta mengambil tindakan ke atas pegawai yang melakukan kesalahan rasuah itu," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata ramai pelabur yang sebelum ini enggan melabur di Malaysia kini berbuat demikian selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara ini.

Malah, kata beliau, tidak seperti kerajaan terdahulu, tiada siapa pun dalam pentadbiran sekarang yang meminta 30 peratus bahagian saham secara percuma sebagai syarat meluluskan permohonan projek.

"Mereka (pelabur) menyatakan rasa gembira dengan layanan yang diterima daripada kerajaan ini," kata beliau.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen