malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rebutan kerusi no 2 PKR: Sabah, Sarawak jadi penentu
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 4:36 PM
Dikemaskini: 9:19 AM
ADS

PEMILIHAN PKR | Persaingan jawatan timbalan presiden PKR telah menjadi pertembungan sengit antara penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pencabarnya, Rafizi Ramli sepanjang enam minggu ini.

Dengan pengundian di semenanjung Malaysia berakhir semalam, tumpuan kini ke arah Sabah dan Sarawak.

Menurut keputusan tidak rasmi mutakhir Malaysiakini, Azmin setakat ini mengumpul 46,944 undi manakala Rafizi 45,285 undi - perbezaan hanya 1.8 peratus.

Walaupun pengundian di semenanjung secara rasminya telah selesai, masih ada beberapa isu yang perlu ditangani.

Antaranya keputusan di Melaka dan Negeri Sembilan yang belum diumumkan ekoran masalah teknikal, dan pengundian di Kuala Selangor yang ditangguhkan selepas sistem e-undi didakwa disabotaj oleh alat penyekat talian.

Secara keseluruhan, Melaka dan Negeri Sembilan hanya merangkumi tujuh peratus daripada keanggotaan PKR.

Masih belum jelas sama ada parti itu perlu mengadakan pemilihan semula di dua negeri itu.

Tinjauan daripada pasukan Rafizi mengatakan keputusan undian yang belum diumumkan hanya memberi kelebihan 300 undi kepada beliau, belum cukup untuk mengubah jurang keseluruhan dengan Azmin.

 

 

Sabah dan Sarawak pula merangkumi hampir suku daripada keanggotaan PKR dan mampu menjadi faktor penentu dalam perebutan jawatan nombor dua parti itu.

Sabah, dengan 17.82 peratus daripada jumlah keanggotaan, merupakan kedua terbesar selepas Selangor - kubu Azmin dan telah membantunya menjarakkan kedudukan dengan Rafizi.

Pengundian di Sabah akan dijalankan pada 3 dan 4 November, manakala Sarawak - 5.33 peratus daripada jumlah keanggotaan - pada 10 November.

Sebelum pemilihan bermula lagi Rafizi telah berkempen secara agresif di Sabah dan akan mempertaruhkan negeri itu untuk mengubah kedudukan.

Azmin pula sepanjang enam minggu ini telah menunjukkan kemampuannya mengurangkan kelebihan Rafizi di negeri-negeri yang dimenangi Rafizi.

Pengecualian adalah Perak di mana Rafizi mendapat 60 peratus undi.

Sokongan melalui orang kuat

Di Sarawak, Azmin kemungkinan besar akan mengharapkan pengerusi PKR negeri Baru Bian - diketahui sebagai sekutunya - untuk mendapatkan sokongan untuknya.

Rafizi pun nampaknya telah mendapat seorang pemimpin di negeri itu untuk menjadi orang kuatnya - Larry Sng.

Sng (gambar) menang di kerusi Parlimen Julau sebagai calon bebas pada PRU ke-14. Ketika itu, HARAPAN tidak bertanding di situ agar beliau dapat melawan calon BN secara satu lawan satu.

 

 

Walaupun hanya menyertai PKR selepas PRU ke-14, beliau setakat ini telah mendapat 25,461 undi bagi persaingan anggota majlis pimpinan pusat (MPP), meletakkanya di kedudukan ke 15 daripada 88 calon.

Perlu dinyatakan bahawa jumlah undi itu adalah daripada semenanjung, bukan daripada Malaysia Timur yang menjadi asas sokongannya.

Walaupun persaingan untuk timbalan presiden begitu sengit, pemimpin daripada kem Azmin menunjukkan prestasi yang memberangsangkan bagi empat kerusi naib presiden.

Setakat ini, satu-satunya sekutu Rafizi pada kedudukan empat tertinggi adalah Nurul Izzah (52,283 undi) manakala tiga tempat seterusnya diduduki sekutu Azmin, iaitu Zuraida Kamaruddin (41,313), Dr Xavier Jayakumar (36,739) dan Tian Chua (32,909).

Di belakang adalah Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin (31,760), Datuk Johari Abdul (29,658), William Leong (28,875) dan S Kesavan (28,143).

Shamsul dikaitkan dengan Azmin manakala Johari, William dan Kesavan dengan Rafizi. Bagi calon-calon ini, Sabah dan Sarawak akan menentukan sama ada mereka mampu menembusi kedudukan empat tertinggi.

Dalam persaingan anggota MPP, sekutu Azmin mengisi 14 daripada 20 tempat tertinggi.

Bagaimanapun, tujuh daripada sepuluh sekutu Rafizi mengisi tempat ke-21 hingga 30 dan - sekali lagi - undian di Sabah dan Sarawak akan menentukan nasib mereka.

 

 

Lihat Komen