Majlis Presiden Pakatan Harapan dijangka akan membincangkan isu anggota parlimen Umno lompat parti dalam mesyuaratnya Sabtu ini.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata ia berikutan desas-desus mengatakan 40 anggota parlimen Umno mungkin keluar parti, dengan sebahagiannya mahu menyertai BERSATU.
"Saya baca berita tetapi tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Ini akan dipertimbangkan dalam mesyuarat majlis presiden Sabtu ini," katanya yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Ditanya sama ada beliau setuju dengan kenyataan Presiden DAP Tan Kok Wai bahawa amalan menerima anggota parlimen daripada Umno sebagai "tidak sihat", Zuraida berkata beliau tidak pasti dengan maksud Tan.
"Saya tidak tahu apa maksudnya...Jadi biarlah ia dibincang dalam mesyuarat," katanya lagi.