malaysiakini logo
story-image
ADS

Tanggal 15 Oktober adalah hari bersejarah dalam Parlimen Malaysia.

Bukan sahaja kerana bakal perdana menteri ke-8, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengangkat sumpah sebagai ahli parlimen Port Dickson.

Ini kerana dua bekas menteri BN, iaitu Datuk Seri Mustapha Mohamed dari Jeli dan Datuk Seri Anifah Aman dari Kimanis, bertukar tempat duduk menjadi ahli parlimen bebas.

Tidak seperti Anifah yang mengambil pendekatan konfrontasi dengan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, dalam sidang itu, pendekatan berhemah Mustapha ternyata lebih menarik perhatian ramai.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, mengusik beliau dengan berkata beliau ingin menjemput ahli yang berhormat yang duduk jauh di hujung Dewan, walaupun jaraknya jauh tetapi dekat di mata.

Menggunakan pengalaman luas sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Mustapha, bangkit menyokong usul untuk memperkasakan Kementerian Luar.

Beliau memberi beberapa cadangan konstruktif, khususnya supaya diwujudkan mekanisme berstruktur antara Kementerian Luar dan agensi-agensi lain bagi meningkatkan promosi, pelaburan, pelancongan dan perdagangan luar negara.

Kata Mustapha:

“Apa yang Wisma Putra lakukan itu kita harap akan dimantapkan lagi dengan satu pendekatan yang lebih tersusun supaya kesemua agensi-agensi ekonomi yang terdapat di luar negara bekerja rapat dengan Wisma Putra kerana apa juga hasil dasar dalam negara akhirnya memberi manfaat kepada kita.

“Kalau hubungan kita baik dengan negara-negara asing, maka insya-Allah ia akan memberi kesan limpahan kepada negara dalam bentuk peluang-peluang ekonomi yang lebih.”

Turut disentuh oleh Mustapha adalah cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa khas parlimen mengenai hal ehwal luar negara.

Ujar beliau, dalam melaksanakannya kena ada orang-orang yang bertenaga, kena cukup sumber kewangan, kena cukup kekuatan untuk ,memastikan kita benar-benar mendapat faedah daripada dasar luar yang progresif.

Menyebut mengenai keperluan mendapatkan orang-orang yang bertenaga dalam melaksanakan dasar-dasar baru kerajaan ini, saya merasa terpanggil untuk mencadangkan supaya tokoh-tokoh yang berkarisma, bersih dan berpengalaman luas seperti Mustapha dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Apatah lagi dalam suasana banyak suara yang mempersoalkan kewibawaan beberapa pemimpin sedia ada.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerap kali terpaksa mengakui kekangan yang dihadapi lantaran kabinet beliau sebahagiannya dibarisi pemimpin yang tidak berpengalaman.

Ketuai agensi penting

Elok sekali jika beliau dapat membuat rombakan kabinet segera bagi menggantikan beberapa pemimpin yang dilihat tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

Sepatutnya tidak ada halangan untuk tokoh yang seperti Mustapha, selain Datuk Husam Musa, dibawa masuk ke dalam kabinet atau setidak-tidaknya dilantik mengetuai agensi-agensi penting negara.

Ini bagi memastikan usaha memulihkan negara dapat berjalan dengan lebih lancar kerana masalah besar negara menyebabkan kita tiada masa untuk terus terikat dengan politik kepartian lagi.

Seperti biasa disebut oleh Pengerusi Majlis Penasihat Negara, Tun Daim Zainuddin, Mustapha adalah budak baik, lurus dan kuat pegangan agama.

Sebab itulah dapat dilihat hampir tiada kritikan dari dalam Pakatan Harapan sendiri mahupun dari luar ke atas tindakan Mustapha keluar Umno.

Jika diteliti balik, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang berada di Perth, Australia, waktu Mustapha mengumumkan keluar dari Umno pada 18 September lalu pun masih merasakan penting untuk beliau mengulas tindakan ini.

Lim menyebut Mustapha dalam nada positif sebagai “antara pemimpin Umno yang paling dihormati”.

Bila diimbas kembali surat keluar Umno yang dikeluarkan Mustapha, nampak jelas kesediaan beliau untuk berkhidmat.

Ini kerana, kata beliau, “Insya-Allah saya akan terus menyumbang buah fikiran ke arah membangunkan sebuah negara Malaysia yang terbilang”, dan “sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat”.

Hasrat untuk mewujudkan budaya politik lebih matang dan inklusif, di samping meletakkan tadbir urus serta integriti sebagai keutamaan, sudah tentulah memerlukan pemberian keutamaan kepada meritokrasi.

Pemimpin yang tidak terlibat memenangkan Pakatan Harapan sekalipun, tetapi mempunyai karisma, bersih dan berpengalaman luas, di samping bersedia mendukung agenda HARAPAN, juga perlu diberikan peranan.

Kenyataan positif Husam mengenai hal ini sangat perlu diteliti. Kata beliau, Pakatan Harapan perlu membuka laluan kepada ahli parlimen bukan HARAPAN yang boleh dikategorikan positif serentak dengan langkah membanteras ahli parlimen yang telah terbukti merosakkan negara.

Tambah Husam, Jika HARAPAN dapat menggerakkan konsolidasi nasional berpaksikan usaha reformasi dan membangunkan semula negara yang dibawa oleh kepimpinan Mahathir, Anwar dan kepimpinan kerajaan sekarang, ia boleh mengukuhkan lagi negara dan mempercepat pemulihan.

Jika dilihat kepada prestasi lampau Mustapha, ternyata beliau sangat cemerlang dalam mengemudi pelbagai kementerian, termasuklah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertanian dan Kementerian Pendidikan.

Tak bersekongkol dalam isu 1MDB

Sangat merugikan jika tokoh sehebat ini diketepikan hanya kerana lambat menukar saf.

Apatah lagi dalam kemelut isu 1MDB, Mustapha tidak diketahui bersekongkol atau cuba mempertahankannya.

Paling tinggi beliau sekadar berkata di Davos pada 18 Januari 2017 bahawa:

“Kami mengambil beberapa iktibar dan kami mahu bergerak ke hadapan serta.

“Kami ada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan kemelut ini.”


PROF MADYA DR RUSDI OMAR ialah pensyarah kanan Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa UUM merangkap dekan pembangunan pelajar dan alumni Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen