Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan tuntutan harta sepencarian Shahnaz A Majid terhadap bekas suaminya Mahmud Abu Bekir Taib.
Hakim Mohamed Fouzi Mokhtar bagaimanapun berkata Shahnaz, kakak ratu jazz Sheila Majid, boleh membuat permohonan baru kerana permohonan sedia ada tidak lengkap.
“Kes itu difailkan tujuh tahun lalu dan hingga hari ini pliding tidak lengkap dan mereka mahu pinda.
“Berdasarkan kes undang-undang, mahkamah boleh menolak permohonan itu dengan kebebasan untuk membuat permohonan baru,” katanya.
Dalam reaksi segera, peguam Shahnaz Akberdin Abdul Kader and Rafie Mohd Shafie berkata akan membuat permohonan baru.
Rafie berkata bagaimana pliding itu akan lengkap memandangkan ia akan ditambah melalui bukti-bukti semasa perbicaraan.
Awal bulan ini, Mahkamah Rayuan Shariah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah dan memutuskan Mahmud, anak Yang Dipertua Sarawak Taib Mahmud, membayar tuntutan mutaah RM30 juta.

