malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Macam berdosa pulak bercakap benar, kata Guan Eng
ADS

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata dia serba-salah semasa membantu Kelantan.

Katanya walau apa pun yang dilakukan - termasuk meluluskan permohonan bantuan dari negeri terbabit - PAS tetap menyalahkan dirinya.

Berucap di Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur hari ini Lim berkata apabila beliau mendakwa Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan awamnya, pemimpin PAS mencabar supaya ditunjukkan bukti.

"Anda cabar saya tunjuk bukti, saya tunjuk buktilah.

"Kalau saya tak tunjuk bukti salah, tapi selepas saya tunjuk bukti, itu pun salah. Buat pun salah, tak buat pun salah.

"Dah tunjuk bukti yang mereka cakap sendiri mereka perlukan bantuan untuk membayar gaji, dan saya luluskan juga. Kerajaan juga luluskan. Luluskan pun kena marah," katanya.

Isu kemampuan ekonomi Kelantan untuk membayar gaji kakitangan awamnya bermula pada 22 Okt lalu apabila Lim secara bersahaja mempertikaikan pertanyaan seorang anggota parlimen PAS yang membangkitkan kemungkinan Kelantan dan Terengganu melakukan inisiatif menyiapkan Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Dituduh moral tak baik

Ia dibangkitkan anggota parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan.

Beberapa pemimpin PAS kemudian mendakwa Lim memfitnah negeri yang ditadbir parti terbabit dan mendesak supaya anggota parlimen Bagan itu menunjukkan bukti. 

Lim kemudian menunjukkan sepucuk surat ditulis dan dihantar pegawai kanan kerajaan Kelantan kepada kementerian kewangan bertarikh 18 Jun 2018.

Surat itu menyatakan permohonan Kelantan mendapatkan bantuan pinjaman dari Putrajaya bagi membayar gaji. 

Kata Lim dia juga berasa hairan apabila dituduh tidak memiliki moral yang baik oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana menunjukkan surat ditulis Kelantan kepada Putrajaya.

Lebih dikesalkan kata Lim kenyataan itu dibuat oleh seseorang yang dianggap memiliki ilmu Islam yang sangat tinggi.

"Macam saya lakukan dosa (kerana) bercakap benar," katanya.

Walaupun begitu Lim berkata beliau akan tetap meluluskan pinjaman kepada Kelantan sebagai memenuhi tanggungjawabnya sebagai menteri.

"Kalau ada keperluan, kita (kerajaan pusat) akan tetap akan luluskan, sungguhpun apabila diluluskan saya kena maki hamun,

"Saya buat begitu kerana kita tak mahu lihat mereka (kakitangan awam Kelantan) tak ada gaji.

"Ini bukan sikap kerajaan persekutuan," katanya.

Lihat Komen