PULASAN | Silap besar dan sesat yang nyatalah untuk sesiapa yang menganggap politik negara ini semudah mentafsir bidalan Abdul Hadi Awang atau kepintaran Nazri Aziz.
Memanglah di permukaannya politik Malaysia agak mudah dan polos. Di mata awam, ada sifir politik yang lebih rumit dan mendebarkan berbanding Malaysia.
Nah, di situlah titik permulaan kesilapan orang yang tidak mengetahui. Ketika hal ehwal negara dilihat laksana lebuh raya yang lurus, siasah sebenar umpama jalan-jalan kampung yang berselirat dan serba menduga.
Justeru apabila anda mentertawakan Najib Razak yang kelihatan tenggelam punca atau hilang sabar, saya sebenarnya mengagumi langkah strategik bekas perdana menteri itu.
Pedulilah apa pun anda kata, namun di mata saya Najib berjaya menempuhi sesi temu bual dengan Cik Mary Ann Jolley dengan jayanya.
Pujian yang melangit juga wajar dirafakkan kepada pasukan pemikir, perencana dan pelaksana langkah politik kontemporari Najib.
Sebagaimana lincah dan lihainya Najib mengutarakan pemikiran dan hujah di media sosial, begitu jugalah kepintaran yang ditunjukkan beliau di depan kamera Al Jazeera beberapa hari lalu.
Tanda sahabat sejati
Kerana kepintaran Najib maka boleh dikatakan semua orang - terutama anggota Umno - lupa kepada isu desakan bercuti kepada Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru itulah yang diperlukan oleh Umno, atau sekurang-kurangnya Ahmad Zahid, Lokman Noor Adam dan ratusan ribu penyokong parti berkenaan.
Maka satu daripada masalah Umno dapat diselesaikan dengan penuh bergaya oleh salah seorang pemimpin teragung mereka. Najib namanya.
Mungkin ada yang sudah terlupa bagaimana hubungan persahabatan di antara Najib dan Ahmad Zahid sudah terbina sejak puluhan tahun silam.
Dan pada setahun silam - atau tepatnya 27 Okt 2017 - Najib sekali lagi menegaskan betapa bertuahnya beliau memiliki seorang sahabat sejati dari Bagan Datuk.
Ahmad Zahid namanya.
Ketika bekas timbalan perdana menteri itu didesak oleh orang yang ada di sekelilingnya untuk bercuti, tidak ada orang yang lebih tepat tampil untuk mempertahankan beliau kecuali Najib.
Jika ada pun orang yang mungkin lebih sesuai membela Ahmad Zahid lebih gigih daripada Najib, tentulah individu tersebut bernama Lokman.
Nak berharap kepada Jamal Md Yunos, ada sedikit risiko juga. Bimbang pada masa diperlukan beliau sukar dikesan pula.
Dan di sebalik kecaman masyarakat kita jangan sesekali menolak kemungkinan bahawa bakal pemimpin terhebat masa depan Umno - Lokman namanya - mengadakan pakatan dengan Al Jazeera.
Justeru temu bual 101 East itu konon-kononnnya memerangkap Najib.
Jolley kena belajar lagi
Mana mungkin seorang pejuang rakyat sehebat Najib boleh tersasul dan tersilap langkah di depan Cik Jolley?
Najib bukan sekadar pejuang. Beliau ialah seorang panglima. Jika tidak cukup menggerunkan, beliau juga bertaraf pendekar.
Selain ada senjata yang berbisa beliau juga ada armada laut yang bersedia digerakkan menerjah badai tanpa mempedulikan sama ada sauh sudah dilabuh atau belum. Asalkan layar sudah dikembangkan, hanya ada satu kata: maju terus!
Sekali lagi ditegaskan, susah untuk diterima akal Najib boleh tergelincir kata-katanya di depan Cik Jolley. Siapa sangatlah wartawan asing yang mewakili media asing itu berbanding pengarang-pengarang media Malaysia, kan?
Secara jujur kita wajar mencari seseorang yang dapat menyampaikan pesanan kepada wartawan Al Jazeera itu supaya dia belajar lebih mendalam lagi bagaimana cara untuk berdepan dengan Najib.
Cik Jolley wajib berguru dengan ketua-ketua pengarang akhbar negara cara-cara untuk mengajukan soalan yang benar-benar mencabar Najib. Setakat wartawan bernama Cik Jolley, ia umpama lebihan makanan di celah gigi saja.
Kalau Al Jazeera mahu mengenakan orang lain, bolehlah.
Mereka mungkin berjaya memberi tekanan kepada pemimpin lain dalam dunia seperti Donald Trump, Vladimir Putin malah Raja Salman di Saudi itu.
Namun mereka melakukan silap yang terlalu besar apabila menggunakan taktik yang sama ke atas Najib.
Apabila beliau kemudiannya mengakui gagal mengawal perasaan semasa temu bual itu berlangsung, sebenarnya tindakan tersebut mesti difahami dengan betul.
Najib tidak mengaku salah, tetapi sekadar berbudi bahasa selayaknya orang Timur yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan.
Penegasan terbaik Najib kepada Al Jazeera itu dapat dilihat ketika beliau berkata: "Because as far as I am concerned, making lies, fabricating lies is not something we want to tolerate in this country."
Dan 'pukulan maut' terakhir untuk Najib menafikan perangkap Cik Jolley dan Al Jazeera itu ialah apabila beliau dengan penuh bergaya dan segak bangkit dari kerusinya dan berkata: "I'm going to walk out. No more... no more... I'm done."
Dalam konteks politik Malaysia, apakah maksud kenyataan Najib yang dilihat ramai sebagai 'mengelak' atau 'mengalah' itu?
Bagi ahli politik aksi tersebut sebenarnya membawa mesej yang jelas lagi terang dan menawan, bak permata disinari cahaya. Pernyataan itu wajib difahami sebagai soalan padu daripada beliau, iaitu: "Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?"
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak menggunakan 'pembaris' semasa menulis, dan gemar mencari makna di sebalik nama buah pulasan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.