malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kamu tidak adil pada saya - Najib tinggalkan wawancara Al Jazeera
Diterbitkan:  Oct 27, 2018 2:34 PM
Dikemaskini: 6:48 AM
ADS

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan sesi wawancara bersama Al Jazeera selepas ditanya mengenai pelbagai tuduhan terhadapnya.

Pengacara program 101 East, Mary Ann Jolley meminta Najib menjawab pelbagai tuduhan daripada isu 1MDB, berlian merah jambu milik isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kepada kes pembunuhan Altantuyaa Shaaribu, Hussain Najadi dan Kevin Morais.

Najib yang kelihatan bengang akhirnya meminta Jolley beralih kepada soalan ekonomi, tetapi apabila pengacara itu tidak berbuat demikian, beliau bangun dan mengancam untuk meninggalkan sesi wawancara itu.

"Bolehkah kita pergi ke ekonomi? Kita telah habiskan terlalu banyak masa, jika tidak, saya akan keluar - tak lagi, tak lagi, tolonglah. Itu saja, saya sudah selesai," katanya sambil berdiri.

"Jika anda mahu bercakap mengenai ekonomi, saya akan duduk," katanya.


Baca: Najib sekali lagi tegaskan tak pernah kenal Altantuya


Apabila Jolley bertegas untuk meneruskan wawancara itu, Najib, yang sedang berdiri meninggikan suaranya.

"Tolonglah, kamu tidak adil kepada saya. Saya telah selesai bahagian saya dan saya tidak akan bertahan lagi untuk ini," katanya.

Jolley kemudian bersetuju bercakap mengenai legasi yang ditinggalkan Najib dan bekas perdana menteri itu kemudian mengambil tempat duduknya semula.

Najib kemudian bercakap mengenai prestasi ekonomi Malaysia, tetapi ketika ditanya mengenai apa yang difikirkannya mengenai 1MDB, beliau berkata, "Saya harap tidak ada isu 1MDB."

Ketika Jolley bertanya mengenai ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho, Najib akhirnya memutuskan untuk beredar.

"Kenapa awak kembali ke Jho Low?" katanya.

Ketika Najib bangun, Jolley bertanya apa yang beliau fikirkan mengenai Jho Low yang cuba mengelak daripada isu 1MDB tetapi beliau sendiri menghadapi tindakan undang-undang.

"Kamu perlu bertanya kepadanya, mengapa kamu bertanya kepada saya, saya tidak lagi berhubung dengannya," kata Najib.

Apabila Jolley terus mengasak Najib dengan soalan bilakah kali terakhir beliau bertemu Jho Low, Najib enggan menjawab soalan dan berlalu pergi.

Dalam kenyataan mengenai wawancara itu semalam, Al Jazeera berkata Najib dilihat hilang kawalan tetapi tidak mendedahkan bahawa bekas perdana menteri itu meninggalkan sesi wawancara itu.

Najib kemudian memohon maaf dan berjanji menerima sebarang permintaan daripada Al Jazeera untuk sesi wawancara yang lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen