malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid bayang tak akan ambil cuti sebagai presiden Umno
Diterbitkan:  Oct 26, 2018 4:48 PM
Dikemaskini: 8:52 AM
ADS

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan beliau akan terus menggalas tugas sebagai presiden Umno, susulan gesaan pemuda parti itu agar beliau mengembil cuti seketika.

Mengulas gesaan itu di Twitter, Zahid berkata apa yang penting pada masa ini adalah untuk Umno terus bersatu-padu.

"Terima kasih atas pandangan Pemuda, saya raikan kepelbagaian pendapat.

Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan Umno," katanya yang juga bekas timbalan perdana menteri.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata Zahid wajar mengambil cuti seketika agar dapat memberi tumpuan kepada kesnya di mahkamah.

Ia berkaitan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Kata Asyraf, tidak adil untuk terus meletakkan tanggungjawab mengetuai Umno kepada Zahid di saat parti itu terus bergerak ke hadapan.

Sebelum memberi ulasannya, Zahid turut berkongsi hantaran Twitter oleh anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak setuju dengan gesaan pemuda.

Ahmad berkata, Zahid perlu terus menjalankan tugas sebagai presiden kerana prosedur mengambil cuti jika berdepan dakwaan mahkamah hanyalah jika Umno masih memerintah.

Beliau juga berkata Zahid belum didapati bersalah dan pendakwaan terhadapnya berunsur politik.

Proses mahkamah tidak akan berjalan setiap hari dan parti perlu terus bersamanya di saat susah dan senang, katanya lagi.

Lihat Komen