malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Pergerakan Pemuda Umno sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga selesai kes pertuduhannya di mahkamah.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan ini adalah bagi memberi peluang kepada Ahmad Zahid untuk memberi tumpuan kepada kes-kes pertuduhannya di mahkamah.

“Kami memohon Ahmad Zahid untuk mempertimbangkan cuti seketika daripada menjalankan tugas-tugas parti. Tidak adil bebankan Ahmad Zahid dalam keadaan Umno terus bergerak ke hadapan.

“Berehat bukan bukti dia bersalah atau lepaskan jawatan. Kita minta dia bercuti dan berehat untuk memfokuskan kes yang dihadapinya sehingga selesai,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat bulanan Pergerakan Pemuda Umno di Menara Dato' Onn, di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hassan memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Walau bagaimanapun, katanya, jika mereka kemudiannya didapai tidak bersalah, pemimpin berkenaan boleh meneruskan kedudukan mereka.

Minggu lalu, Ahmad Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

Bekas timbalan perdana menteri itu, yang mohon dibicarakan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin pada RM2 juta.

Sentimen atau niat jahat

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, cadangan itu tidak mempunyai sebarang sentimen atau niat jahat untuk menjatuhkan presiden, sebaliknya bagi memberi kebaikan kepadanya supaya dapat berehat.

“Bagi Pemuda, rehat daripada menjalankan tugas sebagai presiden bukanlah bermakna Ahmad Zahid dianggap sudah bersalah. Sebaliknya beliau seharusnya diberikan peluang untuk memfokuskan usaha membersihkan nama di mahkamah dengan 45 pertuduhan yang dihadapinya.

“Pemuda tetap berpendirian selagi tidak disabitkan hukuman, beliau berhak dilayani sebagai seorang yang tidak bersalah berasaskan prinsip Islam dan prinsip perundangan,” katanya.

Menurut Asyraf, proses perundangan seharusnya dibiarkan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di kamar mahkamah dan bukannya dihukum di pentas media.

“Pemuda menegaskan bahawa beliau harus diberikan hak dan peluang untuk membela diri dan mendapatkan keadilan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas keperluan untuk presiden digantikan buat sementara waktu, Asyraf berkata ini akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno.

“Siapa yang akan pangku (jawatan presiden)? Itu akan diputuskan Majlis Tertinggi Umno,” katanya ringkas.

Lihat Komen