malaysiakini logo
story-image
ADS

Individu yang didakwa di mahkamah hari ini bukan orang biasa, dan pemimpin yang hadir juga agak luar biasa, namun jumlah penyokong tidak seperti selalu.

Hanya ada kurang daripada 20 orang yang datang ke pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengenai keadaan itu salah seorang daripada mereka berkata ia berlaku kerana kelewatan maklumat diterima.

Kata Isham Jalil penyokong Datuk Seri Najib Razak hanya diberitahu mengenai prosiding hari ini pada petang semalam.

Justeru kata Isham yang sebelum ini pernah menjadi pegawai khas Najib, mereka tidak sempat mengumpul penyokong seperti yang sepatutnya.

Pada masa sama katanya prosiding hari ini yang diadakan pada hari bekerja turut menyukarkan penyokong Najib hadir.

Malah dia mengesyaki kelewatan itu bukanlah suatu kebetulan sebaliknya dirancang pihak-pihak tertentu.

“Ini disengajakan, saat-saat akhir baru dapat notis.

"Konon-konon nak bagi nampak penyokong (Najib) tak ramai hari ini," katanya.

Isham kemudian menyeru supaya pihak berkuasa mengubah sikap tersebut.

"Kerajaan, hentikanlah taktik sebegini,” katanya.

Antara penyokong yang hadir hari ini, memang ada wajah-wajah lazim kelihatan.

Antaranya ialah anggota Majlis Tertinggi Umno (MT) Datuk Lokman Noor Adam dan pelakon Ellie Suriati Omar.

Kebanyakan mereka hanya duduk di bangku di depan bangunan mahkamah, di tangga lobi mahkamah dan hanya sesekali dilihat ditemu bual oleh pemberita.

Secara keseluruhan, keadaan di pekarangan mahkamah 'tenang’ sejak pagi tadi.

Najib - bekas perdana menteri - didakwa sekali lagi di mahkamah bersama Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah atas enam tuduhan pecah amanah melibatkan dana kerajaan bernilai kira-kira RM6.6 bilion.

Beberapa pemimpin kanan BN juga hadir, termasuk Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta anggota MT Umno.

Lihat Komen