malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Gobind minta pegawai kementerian bekerjasama penuh dengan media
ADS

Pegawai media di semua kementerian diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pengamal media dalam usaha menyalurkan maklumat berkaitan kerajaan kepada rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan fakta yang dilaporkan mengenai setiap kementerian adalah tepat dan benar.

“Saya merayu kepada semua untuk beri kerjasama penuh kepada wartawan kerana mereka mempunyai tugas yang berat.

"Kerja mereka bukan senang kerana bila ada isu mereka ditugaskan untuk mendapatkan ulasan daripada kementerian. Jadi apabila mereka melaksanakan tugas sedemikian, saya minta kerjasama penuh diberikan.

“Apa yang kita mahu fakta penuh dan laporan yang tepat serta disahkan dapat diberikan kepada masyarakat dan membawa manfaat kepada semua. Jadi saya harap wartawan akan diberi sokongan penuh oleh menteri-menteri dan kementerian mereka,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat bersama pengurusan tertinggi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) di Wisma BERNAMA hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan beberapa wartawan berhubung layanan segelintir pegawai media yang kurang memuaskan.

Sebelum ini, media turut melaporkan kekecewaan beberapa wartawan terhadap seorang setiausaha akhbar di sebuah kementerian yang dirasakan biadab ketika berdepan dengan media di satu acara di Putrajaya baru-baru ini.

Ketika ditanya sama ada pegawai media perlu diberikan kursus berkaitan, beliau berkata tiada keperluan itu memandangkan setiap kementerian sudah mempunyai unit khas yang bertanggungjawab memastikan ulasan dan berita di setiap kementerian diselaraskan.

“Bagi saya tak perlu ada kursus tertentu tetapi saya percaya mereka sudah ada pengalaman berurusan dengan media namun saya minta mereka bantu wartawan sedaya upaya,” katanya.

“Ada kalanya di mana kita tak ada jawapan kerana kita tidak mengetahui dengan mendalam, dalam keadaan itu mungkin kita boleh kembali kemudian (kepada wartawan) selepas mengesahkannya tanpa perlu bersikap tidak sopan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen