malaysiakini logo
story-image
ADS

PEMILIHAN PKR | Penyandang Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata banyak aduan yang diterima dalam pemilihan parti itu menunjukkan bukti sistem e-undi lemah.

Azmin turut berkata, antara masalah yang dihadapi dalam pemilihan itu di beberapa buah negeri adalah sambungan internet yang tidak stabil.

"Ada banyak keadaan dalam tiga hingga empat minggu kebelakangan ini, mengenai pelbagai aduan terhadap sambungan internet yang tak stabil serta undi yang hilang, termasuklah di cabang saya sendiri, Gombak.

"Bagaimana anda nak jelaskan, anda keluarkan hampir 1,700 kod QR, tetapi hasil undian tidak selaras dengan jumlah itu.

"Ada sesuatu yang tidak kena. Anda tidak boleh ketepikan semua isu ini, sebaliknya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) perlu laksanakan siasatan. Ini yang dituntut ahli PKR," katanya ketika ditemui di lobi parlimen, hari ini.

Isu disiplin anggota

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam yang menyifatkan beberapa masalah yang timbul ketika pemilihan di Selangor, bukan kerana sistem e-undi, sebaliknya isu disiplin anggota.

Saifuddin turut dilaporkan berkata, isu membabitkan sistem e-undi hanya berlaku pada pemilihan di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka, manakala kes undi 'hilang' di lima cabang di Melaka dan satu di Negeri Sembilan.

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan pertama kali pengundian dibuat secara dalam talian menerusi e-undi bagi melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi membabitkan lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara.

Ahad lalu, pemilihan dicemari kekecohan termasuk membabitkan kejadian pergaduhan antara ahli parti susulan terdapat diantara mereka yang berkempen di dalam pusat pengundian.

Selain itu di beberapa cabang di Selangor turut berlaku kekecohan berikutan dakwaan kehadiran ‘pengundi hantu’ selain pertembungan penyokong calon-calon bertanding sehingga menimbulkan ketegangan.

Justeru, Azmin berkata Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR tidak boleh memandang ringan dan satu siasatan yang adil perlu dijalankan.

"Itu tuntutan dari ahli-ahli dan JPP tidak patut mendapat arahan daripada mana-mana pemimpin," katanya.


Lihat Komen