malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Susulan kejadian Menteri Pendidikan Maszlee Malik hampir tersungkur di lobi parlimen, selepas diserbu pemberita Isnin lalu, Dewan Rakyat mengambil pendekatan berbeza bagi memastikan keselamatan anggota parlimen.

Terbaru, pihak keselamatan Dewan Rakyat memasang penghadang di pintu laluan keluar masuk anggota parlimen bagi memberikan ruang kepada mereka untuk keluar dengan selamat.

Menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming walaupun pihaknya komited menjadikan parlimen sebagai mesra media, namun keselamatan anggota Dewan Rakyat harus diberi keutamaan.

“Ini (dipasang) berikutan dari menteri pendidikan yang hampir tersungkur akibat wayar, walaupun kita komited menjadikan parlimen menjadi mesra media, memang kita dah buka lobi utama untuk menjolok (bebas aju soalan).

“Tapi kita kena pentingkan keselamatan supaya tak berlaku kejadian yang tak diingini.

Pita keselamatan akan dibuka semula 

“Kita juga jangan lupa kita ada PM berusia 93 tahun. Kita sangat pentingkan keselamatan beliau dan sekiranya ada sesiapa tertolak tanpa sengaja, memang kita kena jaga,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Menurutnya lagi, pita keselamatan itu akan dipasang buat sementara waktu dan ia akan dibuka semula sekiranya keadaan bertambah baik.

“Hanya sementara, kita lihat keadaan, kalau tak ada huru hara atau kejadian yang tak diingini,” katanya.

Isnin lalu, Maszlee hampir terjatuh selepas di kerumun pemberita di lobi parlimen.

Insiden itu berlaku apabila pemberita menunggu Anggota Parlimen Simpang Renggam itu memberi keyataan berhubung yuran pengajian Universiti Malaya (UM).

Maszlee yang menjawab soalan tersebut sambil berjalan tiba-tiba tersadung wayar jurukamera dan hampir tersungkur.

Situasi yang tidak diduga itu menimbulkan sedikit kekecohan sebelum pegawai iringannya memapah beliau dan berlalu dari sidang media berkenaan.

Sementara itu, Nga berkata, beliau turut menerima aduan daripada menteri kerana dikerumun pemberita di lobi parlimen.

“Kebanyakan yang buat aduan adalah menteri kerana MP kurang di jolok (diserbu untuk tanya soalan). Media itu bukan seorang, tapi puluhan orang dan parlimen ini institusi tertiggi jadi kena jaga keselamatan mereka,” katanya.

Ruang MP keluar masuk

Sementara itu, beberapa anggota parlimen yang ditemui Malaysiakini menyambut baik perkara tersebut.

MP Damansara Tony Pua memuji tindakan pihak keselamatan bagi memberikan ruang kepada ahli parlimen keluar dari pintu dengan mudah.

“Saya rasa OK lah, tak ada orang menunggu di laluan ruang keluar masuk. Kalau tak selalu sesak, nak keluar pun susah,” katanya.

Bagi MP Sepang Hanipa Maidin pula berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah jika pihak keselamatan mahu meletakkan penghadang tersebut atau tidak.

“Kalau ikut peribadi saya, tak kisah, ada ke tak dan demi keselamatan tak ada masalah.

“Tak ada orang nak serbu saya dan saya pakai tongkat ni,” katanya berjenaka.

Lihat Komen