Bekas timbalan menteri Datuk Ahmad Maslan meluahkan rasa simpati terhadap nasib pemandu teksi di Langkawi yang dilaporkan berhadapan dengan kesukaran dalam menjana pendapatan.
"Kasihan pemandu teksi.
"Ada yang dapat hanya RM10 sehari.
"Yang di tempat lain seluruh negara pun bukan dapat banyak rezeki," katanya.
Pemimpin Umno itu berkata perlu ada formula menang-menang antara pemandu teksi dan perkhidmatan Grab.
"Mesti ada formula “win-win”, menang-menang dengan pihak-pihak berkaitan seperti #Grab agar nasib semua terbela, tidaklah rasa tertindas dengan dasar-dasar Pakatan Harapan (HARAPAN)," katanya lagi dalam ciapan di Twitter yang mengepilkan gambar laporan Utusan Malaysia yang memaparkan petikan pemandu teksi.
Salah seorang daripada mereka, Senapi Mustapa dipetik berkata,"dari pagi hingga 4 petang hanya dapat seorang penumpang. Nasib baik dapat juga RM10. Sebelum ini, pernah satu sen pun tak dapat."
Seorang lagi pemandu, Ahmad Sidek Ani menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan.
"Selepas menang dan menjadi kerajaan, mereka abaikan semua janji dan nasib pemandu teksi," katanya.
Zam gesa jangan tolak ansur
Sementara itu, Pengarah PicknGo Sdn Bhd, Valerie Chan dipetik berkata industri teksi menjadi sumber nafkah kepada 67,000 orang.
Pada suatu acara dialog bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi baru-baru ini, pemandu teksi bertindak keluar daripada majlis itu.
Mereka dilaporkan kesal dengan kenyataan Mahathir bahawa Putrajaya tidak akan melarang khidmat e-hailing, sebaliknya akan cuba mencari mekanisme untuk memberi persaingan yang adil antara teksi dan perkhidmatan perkongsian kereta itu.
Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin menyifatkan tindakan pemandu teksi itu sebagai biadap.
Zainuddin mahu kerajaan tidak lagi 'bertolak ansur’ dengan pemandu teksi memandangkan sudah begitu banyak rungutan yang diterima daripada orang ramai tentang perkhidmatan itu.
Katanya, perkhidmatan teksi di negara ini perlu ditambah baik secara keseluruhan dan tidak boleh ada istilah 'setengah baik, setengah tak baik’.