malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PKR Sarawak dakwa setiausaha agung 'abai tugas'
Diterbitkan:  Oct 24, 2018 3:49 AM
Dikemaskini: Oct 24, 2018 12:44 AM
ADS

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail didakwa gagal bertindak terhadap dakwaan kejanggalan keanggotaan dalam PKR Cabang Julau yang dibuat dalam tempoh bantahan yang ditetapkan, menurut Setiausaha PKR Sarawak, Nicholas Bawin.

BACA: Julau jadi tumpuan saingan sengit timb presiden PKR

Nicholas berkata walaupun Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Albert Kedit membuat akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober selepas tempoh bantahan itu berakhir, namun akuan bersumpah itu merujuk aduan awal yang dibuat semasa dalam tempoh bantahan.

Bawin berkata sebenarnya terdapat dua bantahan yang dikemukakan semasa tempoh bantahan, "yang satu (bantahan) oleh Ketua Bahagian Julau PKR, Semana Sawang pada 18 Ogos, manakala satu lagi oleh pihaknya atas nama kepimpinan PKR negeri pada 10 September lalu."

"Kami sangat kecewa bahawa setiausaha agung parti tidak nampak hal ini sesuai untuk secara rasmi atau tidak secara rasmi diperakui dan tidak menjawab kedua-dua bantahan bertulis berkenaan.

"Deklarasi berkanun (SD) Vernon Kedit pada 17 Oktober mengandungi dan mengesahkan bantahan Semana Sawang sebelum ini, yang mana setiausaha agung memilih untuk mengabaikannya.

Tuduhan serius dan rasmi dari MPN

"Kedua, SD Vernon mengandungi bukti-bukti yang menyokong bantahan Semana. Ini adalah tuduhan yang serius yang mana seorang setiausaha agung mana-mana parti politik tidak boleh mengabaikannya. Setiausaha agung mesti bertindak atas bantahan pertama yang dibuat oleh Semana Sawang.

"Ini merupakan pengabaian tugas oleh setiausaha agung secara terang-terangan kerana tidak bertindak atas tuduhan serius yang dibawa secara rasmi oleh majlis pimpinan negeri (MPN) Sarawak," katanya dalam satu kenyataan malam tadi menjawab komen Saifuddin.

Semalam, Saifuddin berkata senarai keahlian untuk semua bahagian PKR telah dimuktamadkan sejak tempoh bantahan berakhir.

Menurutnya, setiap cabang sebelum ini telah ditugaskan untuk menapis senarai keanggotaan dan membangkitkan bantahan terhadap sebarang "nama ragu" yang ditemui.

"Cabang bertanggungjawab memberitahu ibu pejabat parti (tentang perkara itu) dan membuat laporan.

"Apabila parti telah memuktamadkan senarai, proses bantahan oleh cabang telah selesai. Ketika sidang media ini, proses bantahan telah tamat," katanya.

Saifuddin berkata biro politik parti itu mengambil maklum akan kerisauan PKR Sarawak tetapi tidak menjelaskan sama ada tindakan akan diambil berhubungnya.

"Perkara itu telah dibincangkan dalam biro politik minggu lepas," katanya.

 

 

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan PKR Sarawak menemukan lebih 1,000 anggota baru parti itu telah menafikan mereka pernah bersetuju atau memohon untuk menyertai PKR.

Selain itu, lebih 1,000 anggota tidak mempunyai nombor keanggotaan parti, manakala sejumlah nombor didapati muncul lebih sekali dalam senarai keanggotaan.

Bawin memberi amaran bahawa cara pendaftaran sedemikian boleh menjadi pelanggaran terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 jika didapati berlaku pencurian data dan penipuan.

"Kita patut sedar akan jenayah kesalahan yang didakwa dan janji parti kami untuk peraturan undang-undang yang terpakai kepada semua, termasuk parti kami.

"Dalam keadaan ini, apa-apa aduan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) atau cabaran terhadap penyelewengan dan penyalahgunaan undang-undang di mahkamah mungkin khususnya akan menjejaskan parti dan parti pemerintah pentadbiran Pakatan Harapan secara amnya.

"Oleh itu, kami perlu mengesyorkan kepada Majlis Pimpinan Pusat dan Biro Politik parti untuk berhati-hati dalam perbincangan mereka untuk menyelesaikan dakwaan kejanggalan yang berleluasa dan penyalahgunaan undang-undang," katanya. 

 

 

 

Lihat Komen