Pengiklanan

    Sabah putuskan had umur kahwin 18 tahun

    (Dikemaskini )

    Kerajaan negeri Sabah memutuskan umur perkahwinan di Sabah ditetapkan kepada 18 tahun, namun, dalam kes-kes tertentu terdapat beberapa peruntukan membolehkan pengecualian bagi individu yang ingin berkahwin di bawah umur ditetapkan.

    Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Kabinet negeri yang lepas.

    "Perkara ini turut dibincangkan pada mesyuarat ketua-ketua menteri dan menteri besar yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Kami (kerajaan negeri) telah memutuskan kami bersetuju dengan perkara itu (umur perkahwinan ditetapkan 18 tahun). Kerajaan Sabah akan turut sama (dengan kerajaan Persekutuan).

    "Sudah tentu ada pengecualian di situ. Di mana terdapat beberapa keadaan terutama di kawasan pedalaman (ada keperluan) kes perkahwinan bawah umur boleh dirujuk di Mahkamah Syariah atau mahkamah sivil sebab ada (individu) yang berkahwin umur 16 tahun.

    "Kita ada ordinan di peringkat Sabah (yang membolehkan perkahwinan bawah umur)," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama selain Islam Pulau Pinang Chong Eng berhubung perkahwinan bawah umur.

    Sabtu lepas, Chong ketika dihubungi sebuah portal berita mengesahkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan arahan supaya semua kerajaan negeri menaikkan umur perkahwinan minimum sah hingga 18 tahun bagi kedua-dua umat Islam dan bukan Islam.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih