malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ditanya keperluan bercuti, Zahid: Apa hak you tanya?
ADS

Dapat difahami mengapa kemunculan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di parlimen hari ini cepat menarik perhatian media.

Ia adalah kemunculan pertama beliau sejak didakwa di mahkamah dengan 45 tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Justeru beliau 'diserbu' petugas media yang berada di lobi parlimen hari ini untuk membolehkan mereka mengajukan soalan.

Bagaimanapun tidak semua soalan dijawab Ahmad Zahid seperti yang diharapkan.

Ditanya mengenai keperluan untuk beliau bercuti kerana berdepan tuduhan jenayah di mahkamah, Ahmad Zahid sebaliknya melontarkan soalan kembali kepada wartawan.

“Apa hak you tanya soalan tu?” katanya sambil tersenyum.

Terdahulu Ahmad Zahid keluar dari Dewan Rakyat diiringi Anggota Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Ahmad Zahid ditanya mengenai statusnya sebagai presiden Umno selepas timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, memang menjadi Prosedur Operasi Standard (SOP) parti, mana-mana pemimpin yang didakwa perlu bercuti.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu juga ditanya pandangannya mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Umno kini seolah-olah tidak lagi wujud.


Baca Zahid mungkin perlu bercuti


Kata Dr Mahathir parti yang pernah dipimpinnya itu tersasar dari matlamat sebenarnya.

“Umno kan ada, kita tengok Umno ada atau tak ada sekarang?” katanya sambil berjalan kearah lif.

Ahmad Zahid juga kelihatan enggan melayan kenyataan Dr Mahathir itu.

“Tak apalah, suka hati dialah,” katanya.

Gambar fail

Ahmad Zahid didakwa atas 45 kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 pada Jumaat lalu.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta bagi semua pertuduhan.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan Datuk Seri Najib Razak berkata segala keputusan berkaitan Ahmad Zahid akan diputuskan oleh barisan kepimpinan parti.

Bekas presiden Umno itu berkata hal itu sedemikian kerana beliau tidak lagi berada dalam kepemimpinan Umno.

“Saya tak ada dalam kepimpinan (parti), jadi buat perkara ni ia akan dihadapkan pada kepimpinan Umno," katanya.

Lihat Komen