Pengiklanan

    SPRM tangkap 15 pegawai belia dan sukan di Johor

    (Dikemaskini )

    Seramai 15 orang pegawai belia dan sukan di negeri ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor di Johor Bahru, tengah hari tadi, untuk membantu siasatan berhubung tuntutan palsu.

    Menurut sumber, susulan tangkapan yang telah dibuat pada 1 Oktober lepas, hasil siasatan mendapati kesemua suspek terbabit telah bersubahat dengan kontraktor-kontraktor dengan membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan.

    Ia melibatkan penganjuran liga sukan di lapan daerah iaitu di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi bagi tahun 2015 yang didapati tidak dilaksanakan.

    “Jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang telah dituntut adalah melebihi RM90,000,” kata sumber.

    Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lelaki dan wanita, berusia lingkungan umur 30-an hingga 50-an dan bertugas sebagai pegawai belia dan sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah di Negeri Johor.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

    Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

    Pada 1 Oktober lepas, SPRM telah menahan 17 kontraktor bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu lebih RM90,000 berkaitan dengan penganjuran program liga sukan yang didapati tidak dilaksanakan itu.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih