Pengiklanan

    Undian atas talian: Pengguna pilih Grab berbanding teksi

    (Dikemaskini )
    Berita

    UNDIAN | Ketika pemandu teksi menggesa kerajaan menghapuskan perkhidmatan Grab, undian atas talian yang dijalankan Malaysiakini menunjukkan kecenderungan berbeza daripada orang ramai.

    Undian yang dijalankan selama sehari di tiga Facebook rasmi Malaysiakini yang berakhir 1 petang tadi menunjukkan hampir 69,000 daripada kesemua 72,200 mengundi untuk Grab berbanding teksi.

    Dari ketiga-tiga Facebook Malaysiakini - iaitu versi bahasa Melayu, Inggeris, dan Mandarin - lebih 90 peratus mengundi untuk Grab berbanding teksi.

    Keputusan undian adalah seperti berikut:

    Undian di Facebook Malaysiakini bahasa Melayu:
    Jumlah undi - 34,900
    Teksi - 2,200 (6%)
    Grab - 32,700 (94%)

    Undian di Facebook Malaysiakini bahasa Inggeris:
    Jumlah undi - 29,100
    Teksi - 1,000 (3%)
    Grab - 28,100 (97%)

    Undian di Facebook Malaysiakini bahasa Mandarin:
    Jumlah undi - 8,000
    Teksi - 292 (4%)
    Grab - 7,700 (96%)

    Undian atas talian itu dibuka pada petang Sabtu lalu susulan kekecohan terjadi dalam pertemuan pemandu teksi dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi.

    Dalam pertemuan itu, beberapa pemandu teksi melangkah keluar dan dikatakan menggunakan kata-kata kesat kerana tidak puas hati dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa kerajaan tidak boleh menjamin akan menghapuskan Grab.

    Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mencari jalan agar pemandu Grab bersaing dengan adil dengan pemandu teksi.

    Sementara itu, pembaca Malaysiakini berkongsi pengalaman mereka di ruangan komen.

    "Bagi saya, saya pilih Grab. Kebanyakan pemandu teksi tidak jujur dan tunggu untuk memperdaya pelanggan. Anda boleh lihat di kawasan Bukit Bintang bagaimana mereka menunggu pelanggan seperti menunggu mangsa," kata pengguna Facebook bernama Ravi Chandran.

    "Pemandu teksi ramai yang kurang ajar. Lebih baik naik Grab. Perdana menteri pun dia tak boleh hormat," kata Ramly Othman pula.

    Pembaca bernama Christopher Yee pula menulis: "Saya sangat bersetuju, persatuan pemandu teksi melampau. Saya sarankan agar semua pemandu teksi yang jujur beralih kepada Grab".

    Hoffman Skh pula berkata: "Saya pilih Grab kerana lebih murah dan mudah untuk tempah. Teksi 'tutup kedai lah', mahal, kotor dan susah untuk dapat".

    Bagaimanapun terdapat pembaca yang menggesa agar persaingan yang adil diwujudkan antara pemandu teksi dan Grab bagi meningkatkan perkhidmatan kedua-duanya.

    "Teksi atau Grab, perlu bersaing secara sihat. Hak dan peraturan yang sama perlu diberikan kepada kedua-duanya. Grab tidak perlu melalui proses sama dengan pemandu teksi. Syarikat teksi yang patut dipersalahkan," kata Nelson Djee.

    "Belajar dari teksi Bluebird di Jakarta. Pemandu mereka sangat profesional. Setakat ini semua pemandu mereka yang saya pernah jumpa profesional dan tidak pernah beri alasan untuk minta bayaran lebih. Teksi mereka bersih dan tidak berbau," kata Beet Mj.

     

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih