malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Persatuan teksi dakwa perjumpaan dengan Dr M 'disabotaj'
Diterbitkan:  Oct 21, 2018 5:39 PM
Dikemaskini: 9:46 AM
ADS

Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa Malaysia) tidak menolak unsur sabotaj dalam kejadian beberapa individu yang dilapor bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dalam satu sesi dialog yang diadakan bersama perdana menteri di Langkawi.

Pengerusi persatuan teksi itu, Zailani Isaisuludin berkata individu yang menimbulkan kekecohan itu bukan anggota persatuan mereka.

"Saya pun tidak kenal mereka, mungkin mereka diupah pihak tertentu untuk buat kacau di dalam perjumpaan dengan perdana menteri hari ini.

"Oleh itu saya menyangkal keras bahawa Perjiwa membuat perdana menteri berasa kecil hati. Itu bukan tindakan Perjiwa Malaysia. Itu adalah tindakan segelintir yang diupah oleh pihak tertentu untuk merosakkan keharmonian majlis yang diadakan pada hari ini," katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau juga berkata bahawa pihaknya sudah memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas program itu dan berharap agar pemandu teksi yang terlibat dalam membuat kekecohan turut melakukan perkara sama.

Menurut laporan media, pemandu teksi tidak berpuas hati apabila Dr Mahathir tidak mahu memberi jaminan akan menghapuskan perkhidmatan e-hailing, Grab.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata kerajaan akan mencari jalan agar Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan dan membayar insurans serta cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan yang adil.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam kabinet. Saya beritahu Menteri (Pengangkutan) supaya memperbetulkannya, tetapi malang sehingga kini tiada kemajuan langsung.

“Saya akan usaha lagi, saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan Grab, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” kata Dr Mahathir.

Lihat Komen