malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia terus desak Laut China Selatan kekal bebas
ADS

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata Malaysia akan terus mendesak supaya Laut China Selatan dikekalkan sebagai zon yang bebas daripada sebarang persaingan dan peningkatan ketenteraan.

Bercakap kepada Bernama, Mohamad berkata desakan itu akan terus dilakukan walaupun kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan China memberi jaminan akan menjadikan laluan antarabangsa itu kawasan yang selamat.

Kebimbangan tercetus semula berikutan hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang kedua-dua negara itu di Laut China Selatan pada 30 Sept lalu.

Katanya saranan untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman telah dilakukan sejak daripada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah sekarang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita mahu negara-negara kuasa besar menghormati Laut China Selatan adalah kawasan aman dan berkecuali,” katanya.

Mohamad yang berada di Singapura sejak 18 Okt, mengulangi penegasan hubungan pertahanan yang baik dengan Singapura dalam lawatan pengenalan diri ke republik ini.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari mulai 19 Okt.

Mohamad berkata di forum terbuka, kuasa-kuasa besar ini sentiasa menyatakan mereka menghormati undang-undang perairan antarabangsa namun realiti adalah sebaliknya.

“Itu pengakuan mereka tetapi dalam realitinya kita lihat baru-baru ini hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang di Laut China Selatan di kawasan Spratly Island.

“Semua negara ASEAN termasuk Pengerusinya Singapura mengatakan kalau berlaku perlanggaran pada hari itu mesyuarat Menteri Pertahanan (ADMM) mungkin berlainan berlaku. Adakah jadi mesyuarat atau tidak atau mesyuarat nak bincang hal apa,” katanya.

Ketika di Singapura, Mohamad mengunjungi rakan sejawatannya Dr Ng Eng Hen di kementerian pada Khamis.

Beliau turut melawat Pusat Pengumpulan Maklumat di Pangkalan Tentera Laut Changi serta beramah mesra dengan trup Malaysia yang terlibat dalam Eksesais Bersama Lima.

Selain itu, beliau melawat Divisyen 3 Singapura dan mendengar taklimat mengenai Angkatan Tentera Singapura di samping meninjau pameran statik aset tentera dan sistem senjata serta menaiki kenderaan Light Strike Vehicle Mark II.

Semalam Mohamad membuat kunjungan hormat ke atas pemangku Perdana Menteri Teo Chee Hean.

- Bernama

Lihat Komen