malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu yuran naik akan dibincang dengan UM - Menteri
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 9:54 PM
Dikemaskini: 1:55 PM
ADS

Kementerian Pendidikan akan membincangkan isu kenaikan yuran pengajian dengan Universiti Malaya (UM), kata Menterinya Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata pihaknya telah berhubung dengan universiti itu bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai isu berkenaan.

“Saya maklum perkara itu dan sedang berhubung dengan UM. Cuma beberapa perkara berkaitan dengan universiti awam, mereka mempunyai autonomi berkaitan yuran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat Bijak Selamat dan Lindung bersempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Sekumpulan pelajar UM sebelum ini mendakwa kenaikan yuran pengajian itu dilakukan tanpa sebarang notis pemberitahuan awal atau surat pekeliling.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian program tersebut, Maszlee berkata kementerian akan melaksanakan beberapa penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara menjelang tahun depan.

Katanya ini termasuk memastikan setiap bangunan sekolah yang dibina mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) serta Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi menjamin keselamatan pelajar.

Beliau juga berkata kementerian akan memperkenalkan sukan renang dalam aktiviti kokurikulum sedia ada bermula di sekolah-sekolah yang terletak berdekatan dengan kemudahan kolam renang awam.

Menurutnya Kementerian Pendidikan juga kini lebih komited dalam usaha memastikan pelajar tidak dibebani masalah beg berat.

“Pegawai kementerian akan melakukan kajian supaya bermula tahun depan kita akan ringankan beg sekolah anak-anak semua.

"Kita tak mahu anak-anak jadi macam pramugari heret beg berat,” katanya, menambah bahan-bahan pendidikan di media sosial turut akan diperbanyak.

- Bernama

Lihat Komen