malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tanah runtuh: 2 lagi mangsa dikhuatiri tertimbus
ADS

Dua lagi lelaki warga Bangladesh dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata ini menjadikan jumlah mangsa yang masih tertimbus ialah lima orang membabitkan empat lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Indonesia.

"Kami mendapat maklumat daripada rakan dua lelaki Bangladesh itu yang mereka hilang dan gagal dihubungi sehingga pukul 5 petang ini. Rakannya percaya mereka terlibat dalam kejadian ini.

"Cuma kami tidak tahu sama ada dua lelaki Bangladesh itu pekerja di sini atau hanya menginap di kontena yang terdapat di sini. Jadi, keseluruhan mangsa dipercayai masih tertimbus adalah lima orang," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di Paya Terubong malam ini.

Beliau berkata mereka yang masih hilang ialah Subairi, warga Indonesia dan empat warga Bangladesh dikenali sebagai Mithu Hossain, 30, Mohamad Abd Jalil, 31, Ujal, 33, dan Rahat, 25.

SAR bersambung esok

Saadon berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada pukul 7 malam ini berikutan pemeriksaan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati ada pergerakan tanah dan dijangka disambung semula pada 8 pagi esok.

Beliau berkata pihak JMG akan membuat pemeriksaan tanah terlebih dahulu pagi esok sebelum membenarkan pasukan penyelamat memulakan operasi SAR.

Katanya operasi SAR esok akan menumpukan kawasan sektor tiga dan dipercayai lima mangsa itu berada dalam kawasan tersebut kerana pencarian di kawasan sektor pertama dan kedua tidak menunjukkan sebarang tanda mangsa berada di situ.

Saadon berkata sehingga pukul 7 malam ini, sebanyak tujuh kontena yang terlibat dalam insiden itu berjaya dialihkan dan pihaknya percaya tiga lagi kontena yang masih berada di lokasi kejadian akan dapat dialihkan dalam operasi esok.

Beliau berkata pihaknya juga mengalami kesukaran berikutan tanah runtuh dan sisa runtuhan yang tebal perlu dibersihkan bagi membolehkan Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan pengesanan semula mangsa.

Kejadian tanah runtuh yang dilapor pada pukul 1.56 tengah hari semalam itu sehingga kini menyebabkan empat pekerja asing maut, tiga cedera manakala lima lagi dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan tanah.

Kejadian selepas hujan lebat di negeri ini sejak petang Khamis hingga tengah hari semalam itu melibatkan runtuhan tanah di bawah kawasan kontena dan pondok kongsi di tapak pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus.

Petang semalam dua mayat ditemukan iaitu lelaki Indonesia Samsul Asman, 19, dan lelaki Bangladesh Attrul, 35, manakala mayat Khin Aye Khaing, 33, wanita Myanmar ditemukan pukul 1.30 pagi ini dan mayat keempat Bahtiar, 36, lelaki Indonesia ditemukan pada 11.55 pagi.

- Bernama

Lihat Komen