malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Projek pembinaan perlu patuhi SOP - Menteri
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 8:48 PM
Dikemaskini: 12:51 PM
ADS

Semua sektor yang terlibat dalam projek pembinaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh seperti di Bukit Kukus, Paya Terubong, Pulau Pinang, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan untuk menentukan punca sebenar kejadian itu, yang mengorbankan empat pekerja warga asing setakat ini.

"Sekiranya didapati tanah runtuh itu disebabkan kecuaian pihak kontraktor, maka CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan) akan mengambil tindakan terhadap kontraktor," katanya kepada pemberita ketika melawat Kompleks CIDB di Kuching hari ini.

Baru berkata beliau telah dimaklumkan bahawa kerja-kerja di tapak itu telah dihentikan untuk membolehkan kerja-kerja menyelamat dan siasatan dijalankan.

Kejadian itu berlaku selepas hujan lebat turun di Pulau Pinang sejak Khamis hingga semalam, menyebabkan tanah runtuh yang menimbus empat kontena yang digunakan pekerja di tapak pembinaan tersebut di jalan raya berkembar Bukit Kukus.

Mengenai isu berasingan, Baru berkata, projek Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan dan disiapkan mengikut jadual.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa beliau meraguui sama ada projek Lebuhraya Pan Borneo akan diteruskan.

"Ia adalah projek persekutuan dan bukan projek negeri walaupun Sarawak mempunyai beberapa bentuk tanggungjawab dalam menguruskan projek itu," katanya.

Projek itu menghubungkan Sarawak dengan Sabah apabila siap melalui lebuh raya tersebut yang dianggarkan bernilai RM29 bilion.

- Bernama

Lihat Komen