malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tempoh MB 2 penggal: Kedah sedia pinda undang-undang
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 8:35 PM
Dikemaskini: 12:37 PM
ADS

Kerajaan negeri sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah bagi membolehkan tempoh perkhidmatan jawatan menteri besar dihadkan kepada dua penggal.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri untuk membuat keputusan berhubung cadangan pelaksanaan tersebut bagi tujuan mereformasikan sistem politik.

"Sebenarnya, perkara ini telah dibincang sewaktu rangka manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum pilihan raya, jadi ia bukan perkara yang baharu. Jadi, kami alu-alukan cadangan tersebut kerana boleh beri peluang kepada orang baharu dengan idea yang lebih segar," katanya selepas merasmikan persidangan perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Jerlun di Kedah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat berhubung cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri selama dua penggal.

Mukhriz yang juga Timbalan Presiden BERSATU berkata beliau berharap setiap pertukaran di kalangan pemimpin tertinggi dalam kerajaan tidak akan memberi kesan kepada dasar sedia ada kerana ia merugikan masa dan sumber.

"Saya harap ada kesinambungan kalau berlaku pertukaran. Jangan kerana hanya tukar menteri besar, dasar pun sekali bertukar dan berubah kerana itu tidak sepatutnya berlaku kerana dasar dibuat bukan untuk tempoh tiga, empat tahun tetapi 10, 20, 30 tahun jadi akan rugi masa," katanya.

Teruskan bina Hospital Pendang

Sementara itu, beliau menafikan khabar angin berhubung pembatalan pembinaan Hospital Pendang, sebaliknya memaklumkan bahawa kerajaan persekutuan bersedia untuk meneruskan pembinaan hospital terbabit walaupun berdepan dengan kekangan kewangan.

Ditanya mengenai isu kereta rasmi menteri besar yang baharu yang viral di laman sosial baru-baru ini, Mukhriz berkata beliau membuat keputusan untuk melupuskan beberapa kereta lama yang dimiliki di bawah nama pejabat menteri besar sebelum ini.

"Banyak kenderaan yang lama-lama disimpan, duduk sahaja tak buat apa dan banyak yang rosak tak boleh pakai jadi saya buat keputusan mana-mana kereta yang terlampau lama kita lupuskan dan ganti dengan sebuah kereta baharu jenama asing yang dipasang di Malaysia.

"Kita gantikan dengan kereta hybrid maksudnya yang jenis bateri harga tidak terlalu mahal dan saya fikir ini cara kita buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan prihatin soal alam sekitar.

"Saya lupuskan dua biji kereta untuk gantikan dengan kereta ini jadi tak adalah belanja banyak sangat," katanya.

- Bernama

Lihat Komen