malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM bersuara selepas satu lagi tanah runtuh di P Pinang
ADS

Projek pembangunan khususnya yang dicadang di kawasan lereng bukit atau gunung perlu dikaji bagi memastikan ia tidak merosakkan alam sekitar dan menjejaskan keselamatan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata pemaju projek pembangunan juga perlu mengambil kira keadaan perubahan cuaca yang tidak menentu dewasa kini.

“Pokok-pokok yang tumbuh di hutan perlu dijaga kerana ia boleh bertindak untuk menstabilkan tanah,” katanya kepada media selepas majlis menyerahkan kunci rumah baru untuk mangsa-mangsa bencana di Kampung Kuala Teriang di Langkawi hari ini.

Menurutnya insiden tanah runtuh di Pulau Pinang dan beberapa bencana lain yang telah berlaku menunjukkan negara tidak terkecuali daripada ditimpa malapetaka.

“Ia sudah berlaku di beberapa negara lain dan kita perlu belajar daripada (pengalaman menghadapi) bencana ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menzahirkan penghargaannya kepada kesediaan pelbagai pihak untuk membantu mangsa-mangsa bencana di Kampung Kuala Teriang tanpa mengira masa.

“Saya gembira ramai yang datang menolong, membantu mangsa dan ini menjadikan tekanan tidak begitu teruk (dihadapi mangsa),” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat berkata sebanyak 46 buah rumah yang ranap dalam insiden ribut dan banjir 23 Ogos lepas telah disiapkan.

Selain inisiatif kerajaan melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Bencana Pejabat Daerah Langkawi, beliau berkata usaha pembinaan semula rumah itu turut dibantu syarikat-syarikat swasta.

“Semasa baru dilanda bencana, ramai pihak termasuk hotel-hotel telah tampil memberikan bantuan segera termasuk menyediakan makanan untuk mangsa,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen