malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Parti politik perlu terbuka terima teguran - PAS
Diterbitkan:  Oct 20, 2018 2:57 PM
Dikemaskini: 8:43 AM
ADS

Parti politik perlu berani untuk menerima teguran sama ada secara dalaman termasuk peringkat akar umbi ataupun pihak luar bagi memastikan kuasa yang diberikan tidak disalah guna, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata jika parti politik gagal berbuat demikian, maka ia akan ditolak oleh rakyat seperti yang berlaku pada Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"Inilah antara sebab kenapa Umno ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 . Kita sudah nampak daripada awal-awal lagi apabila ia ditegur oleh sesama pimpinan, tetapi teguran itu tidak diambil kira.

"Saya rasa itulah pengajaran kepada mana-mana parti politik, kalau ada teguran kita mesti terima. Kita (PAS) menerima teguran rakyat dan sesiapa sahaja asalkan ia betul dan baik (kepada parti)," katanya.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Sambutan 28 Tahun Membangun Bersama Islam di Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu, hari ini. Hadir sama Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan kepimpinan kerajaan negeri .

Ahmad berkata mana-mana parti yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memimpin sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri perlu menggalas tanggungjawab tersebut dengan amanah.

"Kita perlu amanah (dalam menjalankan tugas). (Teguran) diberikan kerana mungkin ada sesuatu (yang perlu diperbaiki) dan kerajaan perlu sentiasa terbuka untuk menerima sebarang teguran," katanya.

- Bernama

Lihat Komen