malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Soi Lek patut tahu wang diterima MCA daripada 1MDB
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata beliau sukar untuk mempercayai bahawa bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak tahu partinya menerima dana daripada sumber 1MDB.

"Dia mesti tahu. Isu 1MDB sudah pun timbul pada 2013.

"Walaupun dia berkata 'jika ayah bagi wang takkan anda tanya dari mana?'. Tetapi kalau sudah syak (ada sesuatu yang tak kena), dia perlu tanya," katanya yang juga anggota parlimen Iskandar Puteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Muktamar Sanawi kali ke-47 Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Lim mengulas kenyataan Chua, yang memimpin MCA pada 2010 hingga 2013, bahawa parti itu memang menerima dana pilihan raya daripada Datuk Seri Najib Razak pada 2013 tetapi tiada cara untuk mengetahui sumber wang itu.

"Saya sudah berkata terdapat wang (diberikan Kepada MCA). Tetapi masa itu (2013), tidak ada 1MDB. (Berita mengenai) 1MDB tidak diketahui. (Cakap-cakap mengenai) 1MDB hanya muncul pada 2014.

"Apabila bapa beri anda wang, adakah anda akan tanya ia datang dari mana? Adakah anda (bapa) mencuri atau meminjamnya? Anda hanya akan bersangka baik dan terima wang itu," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Lim juga mendesak semua parti yang menerima dana daripada 1MDB pada 2013 perlu memulangkan semula wang itu kepada kerajaan.

Menurut siasatan, Najib ketika menjadi pengerusi BN mengagihkan sejumlah RM470 juta kepada parti komponen BN untuk berdepan PRU 2013, dan RM16.5 juta daripada jumlah itu diberikan kepada MCA.

Najib kini berdepan sejumlah pertuduhan di mahkamah berhubung penyelewengan dana daripada 1MDB.

Lihat Komen