Pengiklanan

    Hutang dorong sekeluarga terjun Sungai Arau

    (Dikemaskini )
    Berita

    Tekanan perasaan akibat hutang mendorong satu keluarga dari Sungai Petani Kedah terjun ke dalam Sungai Arau di Arau, Perlis.

    Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamad berkata perkara ini menjawab misteri penemuan mayat tiga sekeluarga di Sungai Tambun Tulang dan Sungai Arau semalam.

    Mayat Baharom Ahmad, 66, ditemukan di pintu tali air Sungai Tambun Tulang, di Simpang Empat, isterinya Norma Pin, 64, di Sungai Tambun Tulang dan anak mereka Norzalina, 35, ditemukan di Sungai Arau berhampiran Kampung Belat Batu di Arau.

    Ketiga-tiga mereka dipercayai lemas antara pukul 8.35 pagi dan 12.10 tengah hari semalam.

    Noor Mushar berkata misteri penemuan itu terjawab hasil keterangan anak lelaki keluarga itu, Mohd Zali,37, yang mengaku terjun ke dalam Sungai Arau bersama keluarganya pada 2.45 pagi Rabu, tetapi mengubah fikiran di saat akhir dan berenang ke tebing sungai, manakala ayah, ibu serta adiknya hanyut dibawa arus.

    Kampung asal ibunya

    Beliau berkata Mohd Zali yang tiada pekerjaan tetap, kemudian pulang ke Sungai Petani dengan menaiki keretapi di Arau pagi semalam dan ditahan malam tadi hasil maklumat orang ramai.

    Noor Mushar berkata keempat-empat beranak itu menaiki keretapi dari Sungai Petani ke Arau pada pagi hari Selasa dan kemudian menaiki teksi ke Kampung Bakong.

    Menurut Mohd Zali mereka memilih Kampung Bakong kerana ia adalah kampung asal ibunya.

    Noor Mushar berkata barangan peribadi keluarga itu antaranya satu bentuk cincin, satu telefon bimbit, beg tangan, baju dan ubat ditemui di bawah jejambat lebuh raya Kuala Perlis-Changlun pada pukul 4.40 petang semalam.

    Polis juga menemui kesan orang tergelincir ke dalam sungai di tempat barang-barang itu ditemui.

    Polis hari ini mendapat perintah menahan reman Mohd Zali selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih