malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Penasihat ekonomi PM: Langkah k'jaan rapat jurang pendapatan tepat
ADS

Kerajaan kini di landasan betul dalam usahanya mengurangkan jurang pendapatan di kalangan rakyat Malaysia, kata Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Muhammed Abdul Khalid.

Beliau berkata perkara itu jelas terlihat ketika pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia (RMK) ke-11 oleh Tun Dr Mahathir di Parlimen semalam.

Mahathir antara lain mengumumkan kerajaan akan mengumumkan program khusus untuk mengupayakan golongan minoriti seperti pribumi di Sabah dan Sarawak serta Orang Asal di pedalaman.

Beliau juga mengumumkan kerajaan akan melaksanakan program kepada golongan khusus di kalangan kaum Cina dan India untuk membangunkan potensi ekonomi mereka serta membasmi kemiskinan.

"Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik-etnik lain yang semua bernaung di bawah langit Malaysia," katanya.

ADS

Muhammed berkata, bagi masyarakat dalam negara ini, dasar-dasar seumpama itu penting untuk perpaduan nasional dan kepaduan sosial.

"Anda tidak boleh ada satu golongan dengan perbezaan yang besar. Jadi hala tuju yang betul adalah untuk mengurangkan jurang ketika melangkah ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas satu forum di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad berkata negara-negara yang mengalami ketidaksamarataan dan jurang pendapatan yang luas selalunya mengambil lebih masa untuk pulih daripada krisis ekonomi, selain ekonomi yang tidak mapan untuk jangka masa panjang.

ADS

'Bangsa Malaysia'

Dalam pembentangannya, Mahathir berkata pembangunan perlu dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, ia bermakna tidak boleh ada jurang terlalu lebar antara golongan kaya dan miskin dan antara kaum.

"Tiada yang sepatutnya rasa terpinggir daripada pembangunan. Pembangunan, dalam erti kata sebenar, perlu menyumbang kepada pembangunan 'Bangsa Malaysia'," kata Mahathir.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen