malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Portal ISMA pertahan tulisan dakwa MP desak kebebasan murtad
Diterbitkan:  Oct 19, 2018 1:31 PM
Dikemaskini: 5:42 AM
ADS

Portal Kumpulan pendesak Melayu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) enggan menarik balik tulisan yang melaporkan seorang anggota parlimen DAP mendesak ke arah kebebasan untuk murtad.

Dalam kenyataan pengarangnya, Ismaweb berkata mereka berdiri teguh dengan dengan kandungan laporan itu kerana ia “bersandarkan ucapan anggota parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto sendiri”.

Ia juga, menurut kenyataan itu, "bersumberkan rujukan dan fakta yang tepat".

Kenyataan itu menyebut, Kasthuri pada 15 Oktober di Dewan Rakyat mendesak kerajaan meratifikasi Pengisytiharan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi dan Tiada Toleransi Berdasarkan Agama dan Kepercayaan.

"Prinsip untuk menghalalkan murtad terkandung dalam deklarasi tersebut," kata pengarang yang tidak menyebut namanya itu.

Pengarang portal itu juga berhujah, Kasthuri (atas) juga jelas merujuk kepada syor Suruhanjaya Kebebasan Agama Antarabangsa Amerika Syarikat (USCIRF) supaya pihak berkuasa agama memberhentikan tanggapan terhadap penganut Syiah dan Ahmadiah yang difatwakan sesat.

"Sehubungan itu, Ismaweb.net mengulangi pendirian tidak akan menarik balik artikel yang ditulis oleh Ustaz Nu'man bin Mazlan yang disiarkan dengan tajuk 'Ahli Parlimen DAP desak kebebasan murtad, ajaran sesat' pada 15 Oktober 2018," kenyataan itu dipetik.

'Saya tak pernah sebut'

Kasthuri di Facebook beliau semalam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dalam laporan itu dan menyifatkannya sebagai fitnah dan berniat jahat.

“Saya tidak pernah menyebut isu murtad mahupun ajaran sesat,” katanya.

“Dan saya tidak pernah pun mengeluarkan apa-apa kata-kata yang menyangkal Perlembagaan Persekutuan mahupun agama Islam yang saya menghormati dan sanjungi sebagai agama rasmi negara Malaysia.”

Beliau memberikan tempoh 48 jam kepada Ismaweb untuk menarik balik tulisan itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Tuntutan itu tamat semalam. Bagaimanapun masih belum jelas sama ada tindakan undang-undang telah dimulakan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Kasthuri berkaitan perkara itu.

Lihat Komen