malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pemimpin Umno jangka Zahid ditangkap, gesa ahli solat hajat
Diterbitkan:  Oct 18, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:52 AM
ADS

Spekulasi penangkapan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencetuskan kenyataan sokongan daripada pemimpin parti.

Ramai yang menggesa anggota Umno berdoa supaya Zahid diberikan kekuatan untuk menghadapi penyiasatan itu.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua ahli Umno Selangor yang dipimpinnya akan berdiri teguh di belakang Zahid.

"Kami juga berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kesabaran dan ketabahan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam melalui saat-saat yang menggetirkan ini.

"Sehubungan itu, saya menyeru seluruh rakyat, penyokong dan ahli Umno khususnya ahli Umno Selangor untuk berdiri teguh dan mendoakan serta mengadakan solat hajat memohon pertolongan kepada Allah SWT sama ada secara berjemaah atau persendirian," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ketua Wanita Umno Datuk Noraini Ahmad pula berkata sayap parti itu sedang berdoa untuk Zahid supaya tuhan akan memberikan pertolongan kepadanya dalam melalui ujian ini.

"Ini suatu ujian yang hebat untuk orang yang hebat. Justeru, Wanita Umno mendoakan semoga Allah sentiasa mengurniakan kecekalan dan ketabahan kepada beliau dalam menghadapi ujian.

"Wanita Umno... akan terus menganjurkan solat hajat dan bacaan Yasin bertujuan memohon pertolongan Allah," katanya.

Wanita Umno juga menggesa Zahid diberikan peluang membela dirinya berlandaskan kedaulatan undang-undang.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata masih belum jelas sama ada Zahid akan ditangkap dan didakwa pihak berkuasa. Lantaran itu, beliau menggesa ahli Umno untuk tidak membuat kesimpulan sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Saya menyeru agar kita tidak terburu-buru dalam segala kenyataan, tindakan dan perlakuan kita.

"Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum," katanya.

Beliau berkata Majlis Tertinggi Umno akan bermesyuarat tidak lama lagi membincangkan perkembangan dan memutuskan hala tuju parti.

"Saya dan rakan-rakan dalam Umno ingin menzahirkan sokongan dan setia kawan yang mendalam terhadap Datuk Seri Zahid Hamidi," katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan mendakwa pentadbiran HARAPAN melakukan pendakwaan terhadap Zahid bagi mengalihkan perhatian terhadap kegagalan gabungan itu dalam melaksanakan janji pilihan raya.

Semalam, Anggota MT Umno Datuk Lokman Adam meramalkan Zahid akan ditangkap hari dan akan didakwa esok hari.

Hari ini, Zahid dipanggil SPRM untuk disoal siasat buat kali keenam sejak 3 Julai lalu.

Lihat Komen