malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis sambut baik penubuhan IPCMC - Menteri
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 9:34 PM
Dikemaskini: 1:37 PM
ADS

PARLIMEN | Penerimaan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah positif, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Katanya dalam merangka penubuhan IPCMC, kerajaan mengambil kira semua pandangan yang terbabit terutama daripada PDRM sendiri.

Beliau berkata penubuhan IPCMC bukan sahaja dapat membantu menangani isu-isu integriti PDRM, malah akan turut memastikan kebajikan anggota keselamatan itu lebih terbela dan mendapat layanan yang lebih baik.

“Pada masa sama, ia dapat membersihkan imej mereka memandangkan IPCMC dilihat sebagai badan pemantau bebas yang lebih holistik berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

"Oleh itu, kerajaan sedang menyediakan draf undang-undang dengan mengambil kira pandangan terkini semua pemegang taruh," katanya dalam jawapan bertulis soalan Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin tahu status penubuhan IPCMC menggantikan EAIC dan penerimaan PDRM terhadap IPCMC pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 21 September lepas bersetuju dengan cadangan penubuhan IPCMC bagi menggantikan EAIC.

- Bernama

Lihat Komen