malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Batal ECRL, China beralih import sawit Indonesia - Mahdzir
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 5:31 PM
Dikemaskini: 11:26 AM
ADS

Naib presiden Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) gagal dalam diplomasi ekonomi menyebabkan China mengalihkan import minyak sawitnya kepada Indonesia.

Ini katanya sebagai tindak balas republik itu terhadap keputusan kerajaan membatalkan projek-projek mega melibatkan China, termasuklah Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

"Tindakan Pakatan Harapan untuk membatalkan projek-projek mega yang melibatkan pelaburan dari China misalnya telah memberikan impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara yang dilihat kian menguncup.

"Pembatalan ECRL... kemungkinan menyebabkan Malaysia ketinggalan di belakang Thailand, Vietnam dan Indonesia menjelang 2023.

"Kesannya China telah bertindak balas dengan mengalihkan eksport minyak sawit dari Malaysia ke Indonesia menerusi perjanjian pembelian minimum 500 ribu tan dari negara itu.

"Rentetan itu, pada 12 Julai lalu, syarikat China membeli minyak sawit tambahan dari Indonesia sebanyak AS$726 juta," dakwanya dalam suatu hantaran di media sosial hari ini.


BACA: Lawatan Dr M ke China mampu tingkatkan eksport minyak sawit


Hari ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik The Edge Market berkata China telah menyuarakan hasrat untuk membeli 500,000 tan lagi minyak sawit dari Malaysia dengan syarat harganya kompetitif.

Beliau berkata ini susulan lawatan rasminya ke China pada Ogos lalu.

Dr Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi menjawab soalan MP Bukit Bintang Fong Kui Lun yang bertanyakan kesan lawatan rasmi perdana menteri ke China dari segi kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Untuk rekod, sebelum HARAPAN mengumumkan pembatalan projek mega negara, iaitu pada 7 Mei 2018 lalu, Jakarta Post melaporkan Presiden Indonesia Joko Widodo dan Perdana Menteri China Li Keqiang bersetuju untuk meningkatkan eksport minyak mentah sawit Indonesia ke China.

"Perdana Menteri Li Keqiang khususnya bersetuju untuk menaikkan eksport minyak sawit Indonesia ke China sehingga 500,000 tan setahun," Jokowi dipetik berkata dalam kenyataan akhbar bersama.

China mengimport minyak sawit bernilai RM9.42 bilion dari Malaysia tahun lepas berbanding Kesatuan Eropah (RM11 bilion).

Sehingga Mei 2018, eksport minyak sawit dilaporkan merosot 15.65 peratus kepada 1.29 juta tan berbanding 1.51 juta tan yang direkodkan pada bulan yang sama tahun lepas, dengan China, India dan Pakistan muncul sebagai tiga pengguna utama.

Lihat Komen