malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis Kelantan: Menjaja di simpang lampu isyarat boleh disaman
Diterbitkan:  Oct 15, 2018 12:11 PM
Dikemaskini: 5:03 AM
ADS

Polis Kelantan menegaskan aktiviti menjaja makanan di sekitar persimpangan jalan raya dan lampu isyarat merupakan satu kesalahan.

Ketua Polis negeri Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aktiviti jual beli makanan di tengah-tengah jalan itu bukan sahaja menganggu aliran trafik bahkan membahayakan keselamatan penjaja dan pengguna jalan raya yang lain.

Menurut beliau, pihak yang terlibat sama ada sebagai penjaja atau pembeli boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Kaedah 10A LN 166/59 yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

"Mana-mana jalan raya dan lampu isyarat di negeri ini bukan tempat menjaja dan tindakan saman boleh dikenakan kerana menganggu kelancaran trafik serta menghalang lalu-lintas.

"Penjaja yang jual makanan itu boleh disaman, pengguna jalan raya yang membeli makanan pun boleh disaman,” katanya seperti dilaporkan SH Online, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan aktiviti itu semakin mendapat perhatian khususnya di kalangan belia di Kelantan untuk menjana pendapatan.

Kaedah menjaja di jalanan itu dilihat ditiru daripada peniaga-peniaga di negara seperti Indonesia.


Baca berita berkaitan: 'Lampu isyarat merah, kami pun cari rezeki'


Penjaja terlibat didapati melakukan jualan di sekitar jalan utama di Kota Bharu dan menjadikan persimpangan berlampu isyarat sebagai lokasi tumpuan mereka.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, mereka yang terlibat dalam aktiviti tersebut diminta menghentikannya sekali gus mematuhi undang-undang di negara ini.

“Kita tidak boleh ikut cara di negara lain seperti Indonesia yang menjaja merata-rata di jalanan kerana negara ini ada peraturannya.

"Perbuatan ini juga menganiaya pengguna jalan raya lain yang tidak terlibat dengan urusan tersebut kerana terpaksa menunggu jual beli selesai apabila lampu trafik hijau.

"Kita tidak halang orang ramai, khususnya anak muda yang hendak mencari rezeki tetapi biarlah rezeki yang dibawa balik itu 'manis' dan bukannya hasil aktiviti bertentangan dengan peraturan," beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen