malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis saring warga asing belajar agama di Perlis
ADS

Polis Perlis akan membuat tapisan ke atas semua warga asing yang memohon untuk mengikuti pengajian di negeri itu.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata ini susulan penahanan seorang pelajar asing sebuah pusat pengajian agama Islam di sini berhubung aktiviti keganasan yang didapati memasuki negara ini menggunakan visa pelancong.

Penggunaan visa pelancong menyukarkan polis untuk mengesan niat sebenar mereka untuk belajar di pusat pengajian agama di negeri ini, katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman meninjau projek pembinaan ibu pejabat baharu polis Kontinjen Perlis.

Noor Mushar berkata operasi pusat pengajian agama di Bukit Jerneh, Kangar itu dihentikan buat sementara dan semua 119 pelajar asing serta 25 pelajar tempatan yang mengikuti pengajian di pusat tersebut akan ditapis bermula esok.

Proses saringan itu dijangka mengambil masa satu hingga tiga minggu untuk selesai, katanya.

Menurutnya sejumlah warga asing yang telah membuat permohonan untuk belajar di pusat pengajian di Perlis akan ditapis sebelum mereka dibenarkan berbuat demikian.

Pada 24 September lepas, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Bukit Aman menahan lapan orang yang dikaitkan dengan aktiviti pengganas, enam di pusat pengajian tersebut manakala seorang di Kuala Lumpur dan seorang lagi di Johor.

- Bernama

Lihat Komen