malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hadi: Rakyat undi protes, boikot PRK PD
Diterbitkan:  Oct 14, 2018 4:44 PM
Dikemaskini: 8:48 AM
ADS

Walaupun calon PAS tewas dalam pertandingan tujuh penjuru di Port Dickson, namun parti itu berkata peratusan keluar mengundi yang rendah petanda undi protes rakyat yang memboikot politik berkepentingan diri.

"PAS menghormati keputusan rakyat dalam PRK Port Dickson yang terpaksa diadakan demi kepentingan politik seseorang.

"Peratusan keluar mengundi yang rendah adalah petanda undi protes terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang gagal melaksanakan manifesto dan menunjukkan rakyat memboikot politik berkepentingan diri," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata demikian dalam suatu kenyataan yang terbit di laman rasmi parti itu, Harakahdaily.

Hadi menyifatkan PRK PD bukan perakhiran perjuangan PAS dan merakamkan penghargaan kepada jentera serta calon parti itu Mohd Nazari Mokhtar.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar di atas kesungguhan beliau dalam melaksanakan keputusan parti dengan penuh istiqamah.

Anwar dapat majoriti lebih besar

"Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada jentera PAS, rakan-rakan NGO, pasukan keselamatan dan pengamal media serta semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama yang baik," katanya.

PRK Port Dickson yang berlangsung semalam menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mempertahankan kerusi Pakatan Harapan di parlimen berkenaan dengan majoriti yang lebih besar berbanding PRU ke-14 lalu.

Anwar mendapat 31,016 undi manakala pencabar terdekatnya, Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS meraih 7,456 undi.

Jumlah peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu ialah 58.3 peratus dan lebih rendah berbanding PRU ke-14 lalu.

Bagaimanapun Anwar memperoleh majoriti 23,560 undi - lebih besar berbanding Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari PKR yang memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 17,710 undi.

Lihat Komen