malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN akan kaji kawalan seludup ketum di sempadan - Azis
Diterbitkan:  Oct 14, 2018 4:24 PM
Dikemaskini: 8:25 AM
ADS

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perbincangan dengan agensi yang bertanggungjawab membuat kawalan di sempadan untuk menilai keberkesanan operasi mereka berikutan kegiatan penyeludupan ketum kerap berlaku di sempadan Perlis.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata perbincangan itu akan menyentuh secara menyeluruh isu-isu berkaitan sebelum dibentangkan kepada kabinet.

“Oleh kerana ketum hanya diletakkan di bawah Akta Racun 1952, kita akan dapatkan pandangan pelbagai kementerian termasuk membuat kajian teliti sebelum boleh mengubah sesuatu undang-undang atau akta.

“Saya datang ke sini pun untuk meninjau sendiri situasi di sempadan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar, hari ini.

Projek bernilai lebih RM150 juta itu dijangka siap dan boleh digunakan Mac tahun depan.

Mohd Azis berkata isu pagar sempadan yang sering dirosakkan oleh penjenayah atau penyeludup untuk memasuki negara ini juga akan disentuh dalam perbincangan itu kelak.

Katanya KDN juga akan mengkaji keperluan meletakkan lebih banyak pos di sepanjang sempadan kerana ia melibatkan perbelanjaan besar termasuk kos penyelenggaraan.

- Bernama

Lihat Komen